norhayati_nordin@hmetro.com.my
POPULARITI semestinya impian insan bergelar selebriti. Namun, tidak semua orang berpeluang memilikinya, tetapi tidak mustahil juga untuk dicapai.
Bagi Aina Abdul, 31, populariti yang kini dalam genggamannya disifatkan sesuatu tidak pernah dijangka menjadi rezekinya kerana pelbagai rintangan dilalui.
“Saya anggap apa yang dimiliki sekarang ini (populariti) adalah hasil daripada peluang kedua diberikan Allah untuk saya bersyukur dan menghargai.
“Ini kerana, peluang pertama saya adalah ketika menyertai Mentor Legend 2014 di TV3 dulu sebagai protege Ella dan menang naib juara.
“Dari Mentor Legend itu, saya akui dapat juga merasa ada peminat dan dikenali seketika, termasuk memahami realiti sebenar industri hiburan yang tidak semudah difikirkan.
“Kejayaan naib juara itu ternyata bukan ‘tiket’ mudah untuk saya terus dikenali dan berjaya sebagai penyanyi seperti sekarang. Prosesnya lain dan strategi juga kena ada,” katanya.
Menurut Aina, dia terlambat sedar untuk menggunakan peluang pertama itu sebaik mungkin kerana ‘leka menunggu’ lagu yang disediakan untuknya.
“Dalam kehidupan ini, kita perlu bijak dan cekap menggunakan peluang yang ada. Tetapi, saya pula ketika itu tidak terfikir ke situ dan membiarkan saja ia berlalu tanpa buat apa-apa.
“Bagaimanapun, saya masih ingat lagi kata-kata seorang kru produksi, kalau dalam tempoh enam bulan selepas program realiti itu berakhir dan tiada produk (lagu) dikeluarkan, memang tidak ke mana.
“Ia nyata berlaku kepada saya apabila tiada tawaran menyanyi dan sangat sedih. Jadi, saya berbincang dengan emak dan minta izin untuk teruskan pengajian di universiti.
“Dengan wang kemenangan RM100,000 dalam Mentor Legend itu, saya guna sebagai bayaran pendahuluan kereta dan selebihnya membayar yuran pengajian dalam jurusan sarjana muda muzik,” katanya.
Kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-36 (ABPBH36) ini, wang itu langsung tidak digunakannya untuk keperluan peribadi.
“Bagi menampung perbelanjaan bulanan seperti membayar bil, saya bekerja sebagai penyanyi di kelab malam walaupun ketika itu dalam pengajian. Saya perlu kerja mencari duit.
“Apa pun, Alhamdulillah daripada kesusahan yang dilalui itu menjadikan saya seperti hari ini. Pengalaman banyak mengajar saya untuk terus berusaha selagi peluang masih ada.
“Saya juga amat berterima kasih kepada peminat kerana tanpa sokongan mereka, tidak mungkin saya ada di tahap ini sekarang,” katanya.
Aina yang mula menyinar sejak penghujung 2018 dengan lagu Sumpah ciptaannya, kini popular dengan lagu Semalam, Terus Hidup, Jangan Mati Rasa Itu, Fool, Sepi dan terbaharu, Jadi Ajari Aku.
Ketawa baca komen netizen
Walaupun bersih gosip dan kontroversi, Aina tetap menjadi perhatian ramai menerusi fesyen digayakannya ketika muncul dalam acara hiburan, majlis anugerah dan persembahan nyanyian.
Malah, ada antara busana dipakai Aina itu dikecam hebat oleh netizen yang mengaitkannya dengan pelbagai perkara. Namun, Aina tetap okey dan terus berkarya dalam fesyen.
“Saya ada baca juga komen netizen yang mengkritik dan mengecam fesyen digayakan. Bagi saya, terpulang pada mereka (netizen) nak komen apa, itu hak masing-masing.
“Tapi, sebenarnya saya terhibur juga apabila baca komen netizen di media sosial ini, kebanyakannya lucu dan saya boleh ketawa sebab kelakar sangat. Tapi, saya positif saja.
“Kalau nak marah dah sedih pun buat apa kerana saya bukan kenal mereka semua. Bahkan, mereka (netizen) pun tak kenal rapat dengan saya juga. Jadi, biarlah selagi ia tidak melampaui batas,” katanya.
Aina berkata, dia tergelak mengingatkan komen netizen yang mendakwa kehadirannya bersama peminat menaiki bas ke acara ABPBH36, Oktober lalu sebagai memeriahkan majlis makan malam pekerja kilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



