mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pelancong kurang tertarik datang ke Malaysia bukan hanya disebabkan tiada papan tanda bertulisan Mandarin semata-mata, sebaliknya promosi pelancongan negara tidak dilakukan dengan sewajarnya.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu turut disebabkan kerana promosi kurang rancak selain dipengaruhi oleh produk pelancongan tempatan tidak menarik seperti negara lain.
“Pelancong bukan hanya tidak datang disebabkan promosi tidak rancak, tetapi hakikatnya produk pelancongan tidak semeriah di negara-negara lain.
“Fasiliti untuk pelancongan kita tidak bersepadu termasuk tiada aplikasi buatan Malaysia yang boleh membantu mereka mendapatkan maklumat, memudahkan perjalanan dan memudahkan utusan pembayaran.
“Ia jelas bukan disebabkan negara ini tiada papan tanda bertulisan Mandarin. Jadi Menteri Pelancongan (Datuk Seri Tiong King Sing) diharap dapat mengemukakan kad laporan pencapaiannya sempena dua tahun menjadi Menteri Kerajaan Perpaduan supaya rakyat dapat menilai,” katanya dalam catatan platform sosial X, hari ini.
Kenyataan itu turut membidas maklum balas King Sing yang menyifatkan tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai peraturan papan tanda dwibahasa mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan juga menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Pada Khamis lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




