khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak 422 daripada 1,074 permohonan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) membabitkan peruntukan sebanyak RM46.1 juta sehingga 30 September tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bagi Jun 2023 sehingga akhir tahun 2023, KPKT meluluskan penyaluran peruntukan kepada 205 RIBI di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.8 juta.
“KPKT sentiasa berusaha memelihara kepentingan semua kaum dan agama, sebagaimana aspirasi Malaysia Madani yang mengutamakan aspek keterangkuman semua pihak dalam memperolehi manfaat daripada kerajaan.
“Dalam hal ini, KPKT turut memberikan perhatian kepada RIBI di seluruh negara. Fungsi keurusetiaan RIBI ini yang diperkenalkan pada 2023 adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
“Namun, ia kemudiannya diletakkan di bawah seliaan KPKT bermula Jun 2023 sehingga kini,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai statistik permohonan serta kelulusan projek dan jumlah yang dibelanjakan bagi program RIBI mengikut pecahan negeri untuk 2023 dan 2024.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, kerajaan melalui Belanjawan 2025 memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk meneruskan inisiatif RIBI.
“KPKT menyasarkan sejumlah 200 RIBI untuk menerima sumbangan penyaluran peruntukan dengan jumlah maksimum RM250,000 bagi setiap RIBI.
“Sasaran 200 RIBI akan bertambah sekiranya jumlah yang dimohon tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun 2023, tiga negeri yang menerima penyaluran peruntukan tertinggi adalah Negeri Sembilan dengan 32 RIBI (RM5.7 juta), Perak 32 RIBI (RM3.3 juta) dan Selangor 26 RIBI (RM2.7 juta).
Katanya, bagi tahun 2024 sehingga 30 September, Perak mencatatkan jumlah tertinggi dengan 87 RIBI (8.9 juta), Selangor 60 RIBI (6.2 juta) dan Johor 48 RIBI (RM5.7 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd




