Morristown: Brazil terus giat menjalani persiapan menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 menentang Maghribi, Ahad ini, tanpa kelibat penyerang utama Neymar yang masih menjalani proses pemulihan kecederaan.
Bintang berusia 34 tahun itu tidak kelihatan dalam sesi latihan skuad Selecao di Morristown, New Jersey, ketika rakan sepasukannya meraikan ulang tahun ke-67 ketua jurulatih, Carlo Ancelotti.
Pemain Brazil memberi penghormatan kepada pengendali dari Itali itu menerusi tradisi ‘guard of honour’, namun penyerang Barcelona, Raphinha, sempat berseloroh mengenai layanan yang diterima Ancelotti.
“Dia melalui upacara itu, tetapi tiada siapa menyentuhnya,” kata Raphinha sambil ketawa.
Ancelotti diberi tanggungjawab besar untuk menamatkan penantian 24 tahun Brazil bagi menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam.
Sementara itu, Neymar masih menjalani program pemulihan intensif selepas mengalami kecederaan betis tahap dua ketika beraksi bersama Santos pada pertengahan Mei lalu.
Neymar disahkan terlepas aksi pembukaan menentang Maghribi, namun masih belum ada kepastian sama ada akan kembali beraksi dalam perlawanan kumpulan berikutnya menentang Haiti dan Scotland.
Walaupun kehilangan pemain paling berpengaruh mereka, pemerhati bola sepak Brazil tetap yakin peluang pasukan itu untuk mencabar kejuaraan masih terbuka.
Bekas pemain tengah Brazil yang membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 1994, Zinho, percaya Selecao memiliki kualiti mencukupi untuk bersaing di peringkat tertinggi.
“Brazil bukan pilihan utama untuk menjuarai kejohanan ini, tetapi mereka mempunyai pemain berkualiti yang mampu membentuk sebuah pasukan yang kuat. Saya percaya mereka mempunyai peluang,” katanya.
Zinho yang kini bertugas sebagai penganalisis ESPN turut menjangkakan Brazil akan mengambil pendekatan berhati-hati ketika berdepan Maghribi yang mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia sebelum ini.
Pandangan itu turut dikongsi pengulas radio terkenal Brazil, Benjamin Back, yang percaya Ancelotti tidak akan mengubah identiti permainan pasukan.
“Beliau akan membentuk pasukan yang berdisiplin ketika bertahan dan menunggu ruang untuk melakukan serangan balas pantas apabila menguasai bola.
“Ia adalah kumpulan pemain muda yang memiliki kecergasan tinggi serta dibimbing jurulatih hebat. Saya meletakkan Brazil sebagai antara pasukan pilihan,” katanya.
Brazil akan membuka kempen Kumpulan F menentang Maghribi di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.
© New Straits Times Press (M) Bhd




