Fahaman dangkal 'childfree'

Fahaman dangkal 'childfree'

saufi@mediaprima.com.my

WANITA dan anak sangat berkait rapat, malah ada frasa yang mengatakan bahawa jika seorang ibu itu kehilangan suami, si ibu masih mampu meneruskan kehidupan berbanding kehilangan anak.

Frasa popular dalam masyarakat Melayu itu memberi gambaran sangat jelas bahawa anak itu adalah nadi serta penguat kepada wanita dan sesebuah keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul trend baharu apabila pasangan berkahwin tidak mahukan cahaya mata.

Jika dilihat dari satu sudut, ia mungkin didorong faktor kewangan dan keselesaan kerana kos yang besar untuk keluarga yang mempunyai anak.

Bermula dengan lampin pakai buang, susu formula, pengasuh dan ruang rumah untuk membesarkan anak kecil itu seharusnya kondusif, tetapi tidak semua keluarga mampu menyediakan kemudahan berkenaan.

Alasan berkenaan masih boleh diterima kerana untuk mempunyai anak atau tidak, ia pilihan serta rezeki yang dikurniakan oleh Allah, namun seharusnya tidak ‘berkempen’ mengajak orang lain turut serta dalam trend itu.

Perkara yang membimbangkan apabila ada bakal ibu iaitu wanita yang berpandangan bahawa mempunyai anak itu menyusahkan sedangkan anak itu adalah anugerah terindah untuk pasangan suami isteri.

Minggu lalu, trend ‘childfree’ ini mendapat perhatian Parlimen apabila isu itu dibangkitkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyatakan trend berkenaan dilihat membimbangkan kerana boleh memberi kesan jangka panjang kepada struktur penduduk Malaysia, termasuk mempercepatkan proses negara menua.

Dr Noraini berkata, walaupun menyedari keputusan untuk tidak mempunyai zuriat adalah hak keluarga atau pasangan, namun kerajaan sentiasa menggalakkan pasangan yang berkahwin untuk memiliki anak.

“Kerajaan sentiasa menyediakan bantuan, persekitaran yang sihat dan kondusif bagi membantu pasangan berkahwin.

“Antaranya subsidi yuran pengasuhan taska RM180 seorang bagi anak berusia empat tahun ke bawah kepada penjawat awam yang layak, selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM7,000 bagi subsidi yuran pengasuhan,” katanya.

Sementara itu, bagi perspektif syarak pula tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan tidak melarang untuk tidak memiliki anak jika ada kemaslahatan khusus buat pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab yang dibolehkan syarak, maka perbuatan itu adalah haram.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri ke-297 turut menyatakan bahawa keharusan yang dibenarkan syarak adalah dalam tempoh tertentu iaitu tidak membabitkan pemandulan kekal atau pengguguran.

Keadaan ini merujuk kepada perancangan keluarga (tanzim al-nasal) iaitu suami dan isteri yang bersepakat tidak memiliki zuriat dalam tempoh tertentu atas sebab tertentu dengan cara merancang kelahiran.

Bayan Linnas itu turut menyentuh pandangan Imam al-Khadimi, salah satu antara tujuan (maqasid) perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan memperbanyakkan zuriat bahkan ia termasuk dalam tujuan asal dan asas perkahwinan (maqasid asliyyah).

Untuk itu, pasangan yang berkahwin khususnya wanita Islam perlu menetapkan faktor khusus jika tidak bersedia mempunyai anak atas dasar kemaslahatan yang dibenarkan, namun ia tidak boleh bersifat selama-lamanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top