am@hmetro.com.my
Jerantut: Meraih hasil memuaskan pada tuaian pertama mendorong suami isteri meluaskan lagi projek rintis tanaman bawang merah mereka.
Bermula dengan kawasan seluas dua hektar, Azhar Arshad, 57, merancang menambah 1.8 hektar lagi tahun depan, untuk projek tanaman bawang jenis Bima Brebes itu yang berasal darı Jawa Timur, Indonesia.
Katanya, mereka memulakan projek itu, September lalu di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah, dan tanaman boleh dituai dalam tiga bulan.
“Hasil fasa pertama kami mampu mengeluarkan hampir empat tan bawang, percubaan itu dianggap berjaya walaupun berhadapan pelbagai cabaran disebabkan kekurangan pengalaman.
“Untuk lebih berjaya dalam projek ini kami perlu banyak belajar. Sedikit ilmu diterima daripada pekebun di Sumatra Barat, Indonesia ketika melakukan lawatan masih dianggap belum mencukupi,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sokongan isteri, Haslina Hassan, 59, menjadi pembakar semangatnya untuk menceburi projek tanaman bawang merah yang mendapat permintaan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, kelebihan tanaman bawang ialah tempoh matang yang singkat iaitu antara 75 hingga 90 hari dan penjagaan tanaman itu juga tidak terlalu membebankan berbanding tanaman sayur.
Azhar berkata, minat mendalam terhadap projek itu membuatkan dia langsung tidak merasa beban berulang alik setiap minggu dari rumahnya di Sepang, Selangor ke kebun di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah.
Dia dan isteri turut mengusahakan kebun dengan tanaman nanas, kelapa, cempedak, pisang dan durian sejak lima tahun lalu.
“Cabaran tanaman bawang merah ialah cuaca, ia tidak boleh menerima air berlebihan. Penyakit seperti kulat dan serangan serangga pun boleh sebabkan bawang rosak,” katanya yang berkerja sebagai pengurus ladang kelapa sawit.
Haslina pula berkata, mereka mempunyai enam pekerja yang membantu dalam tanaman bawang dan yakin projek tanaman itu membuahkan hasil disebabkan permintaan menggalakkan.
“Khidmat nasihat yang diberikan Jabatan Pertanian Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah Jerantut menambahkan lagi semangat saya dan suami untuk meluaskan projek ini dan jadi pengeluar utama bawang di Pahang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, pihaknya akan terus membantu pekebun yang berminat mengusahakan tanaman bawang berskala besar di negeri ini.
“Kita akan terus memantau projek tanaman bawang yang diusahakan oleh Azhar dan isterinya yang telah mula meraih hasil. Diharapkan lebih ramai lagi petani mencuba tanaman berkenaan pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



