Fattah tenangkan diri di Makkah

Fattah tenangkan diri di Makkah

Hadzlan@hmetro.com.my

Shah Alam: Sekalipun berdepan jadual kerja padat Fattah Amin sempat ‘mencuri masa’ menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya.

Pelakon dan penyanyi, memilih Makkah untuk menenangkan diri, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berlepas ke Tanah Suci bersama kedua ibu bapa dan tiga adik perempuannya pada hari ini.

“Assalamualaikum semua… doakan perjalanan kami sekeluarga menjalani ibadah umrah dipermudahkan, dilindungi serta mendapat umrah yang mabrur. Insya-Allah,” tulis Fattah di Instagram.

Keluarga terbabit menunaikan umrah bersama agensi pelancongan, TMK Travel & Tours.

Pengarah Urusannya, Nik Ikrami Omar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh Fattah dan keluarganya.

Katanya, Fattah sekeluarga akan menunaikan ibadah itu selama sembilan hari iaitu sehingga 3 Disember depan.

Sebelum ini Fattah yang juga pelakon filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dilaporkan bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah dan jadual kerjayanya penuh sehingga Februari depan.

Fattah ketika ini mencipta fenomena apabila kemunculannya sentiasa menjadi tumpuan peminat seni tanah air.

Kemunculan pertama kalinya di TikTok pada pertengahan Oktober lalu mencetuskan fenomena apabila berjaya meraih sebanyak 100,000 tontonan dan memperoleh 44 juta tanda suka sepanjang tiga jam bersiaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top