Pengalaman makan nasi berlauk gula, dorong Firdaus kongsi rezeki dengan pengikut

Pengalaman makan nasi berlauk gula, dorong Firdaus kongsi rezeki dengan pengikut

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lain orang, lain caranya bersedekah. Begitu juga dengan usahawan muda dikenali Firdaus yang pernah membelanjakan kira-kira RM50,000 dalam satu malam untuk membeli syiling digital sebagai hadiah atau ‘gift’ kepada pengikut kurang bernasib baik di TikTok.

Biarpun jumlah dibelanjakannya itu agak besar, Firdaus, 27, juga pempengaruh dikenali Fokiyoks dalam kalangan pengikutnya puas kerana diizinkan Allah SWT untuk berkongsi rezeki.

Menurutnya, kesusahan ketika di bangku sekolah menjentik hatinya untuk membantu golongan kurang berkemampuan dalam era yang mencabar sekarang.

“Ibu bapa berpisah ketika saya berusia enam tahun dan saya serta adik dibesarkan oleh emak… saya nampak kepayahan (dialami emak).

“Paling tak dapat saya lupakan adalah kenangan maka

n seekor ikan berkongsi dengan emak dan adik, nasi berlaukkan gula dan bancuh air dalam tin susu.

“Kami pun pernah hidup berpindah randah malah tak dapat lupa pengalaman tidur dengan emak dan adik di ruang tamu sempit.

“Bila ingat semula itu yang buat saya nak bantu orang lain kerana saya pun pernah merasa hidup susah,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.

Menurut Firdaus, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ketika berkongsi rezeki di TikTok adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu itu saya menonton siaran langsung seorang wanita bekerja sebagai tukang cuci tapi dibuang kerja… jadi saya bagi ‘gift’ untuk memberi semangat kepadanya.

“Dia sangat gembira hingga panggil tiga anaknya untuk sama-sama doakan saya… perasaan saya sangat terharu waktu itu.

“Saya tak kaya pun tapi bila ada duit lebih, saya cuba kongsi rezeki dengan cara begitu, ” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, kepayahan dilalui mengajarnya berdikari dan mencari duit poket sejak di tingkatan tiga.

“Datuk bagi modal untuk jual beg, topi dan beberapa barangan lain dalam talian.

“Saya berniaga hingga tingkatan lima, selepas tamat persekolahan, saya ambil upah bantu jual minuman dan waktu itulah merasa dapat RM1,000 pertama hasil duit gaji,” katanya yang mempunyai lebih 286,000 pengikut di TikTok.

Berkongsi hala tuju, Firdaus mahu bekerja lebih kuat supaya dapat berkongsi lagi rezeki yang ada dengan orang lain.

“Waktu sekolah dulu, saya pernah berangan untuk ada kedai pakaian sendiri di dalam pusat beli belah.

“Walaupun belum jadi kenyataan, saya gembira kerana kini dalam proses mengeluarkan baju di bawah jenama sendiri.

“Kalau boleh, saya nak perniagaan saya berjaya sampai ke bulan kerana ada hasrat hadiahkan 10 motosikal model Yamaha RXZ dan taja lima pasangan mengerjakan umrah di Tanah Suci tahun depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top