Banjir: 35,261 mangsa di 6 negeri

Banjir: 35,261 mangsa di 6 negeri

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jumlah keluarga yang terjejas akibat banjir yang melanda enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak terus meningkat 10,743 orang kepada 35,261 mangsa sehingga jam 7.30 pagi ini.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan terus merekodkan angka tertinggi iaitu 29,022 orang mangsa membabitkan 8,745 keluarga dengan sebanyak 150 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah.

Di Terengganu, jumlah keluarga yang ditempatkan di 144 PPS membabitkan enam daerah adalah 1,882, dengan mangsa seramai 5,845 orang.

Di Kedah, lima PPS dibuka yang menempatkan sekitar 180 mangsa atau 58 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Di Perlis, tiga PPS dibuka bagi menempatkan 166 orang mangsa, sementara masing-masing satu PPS dibuka di Johor (28 orang mangsa) dan Perak (20).

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, sebanyak 11,626 (32.97 peratus) adalah lelaki dewasa, 12,537 (35.55 peratus) perempuan dewasa, 5,189 (14.72 peratus) kanak-kanak lelaki, 4,955 (14.05 peratus) kanak-kanak perempuan, 509 (1.44 peratus) bayi lelaki dan 445 (1.26 peratus) adalah bayi perempuan.

Bagi mangsa warga emas lelaki mencatatkan 1,217 (3.45 peratus), 1,417 (4.02 peratus) warga emas perempuan, 632 (1.79 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki dan 414 (1.17 peratus) OKU perempuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top