Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata kesukaran yang dialami penyerang berstatus bintang, Kylian Mbappe musim ini adalah disebabkan oleh kurangnya aksi konsisten keseluruhan pasukan.
Penyerang Perancis itu gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika juara Sepanyol dan Eropah, Real Madrid, tewas kepada Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu, kekalahan ketiga mereka dalam lima perlawanan di kejohanan itu.
Mbappe, yang menyertai Madrid pada musim panas selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) tamat, dikritik kerana prestasinya dan hanya menjaringkan dua gol dalam sembilan perlawanan terakhir bersama kelab itu.
“Masalah Mbappe adalah masalah yang kami semua hadapi. Kami perlu memberikan aksi terbaik, bukan hanya dia tetapi saya sendiri dan pemain lain,” kata Ancelotti dalam sidang akhbar menjelang pertembungan La Liga menentang Getafe.
“Ia bukan masalah seorang pemain, masalah yang kami hadapi adalah sebagai sebuah pasukan yang tidak mampu menunjukkan aksi konsisten. Ia bukan masalah seorang pemain.
“Kami perlu memperbaiki keadaan itu, melakukan segala yang kami mampu… Mbappe masih baharu di sini dan sedang menyesuaikan diri.
“Tambahan pula, dia sudah menjaringkan lapan gol dan menyumbang ketika menyerang dengan memberikan bantuan gol.
“Ya, dia boleh bermain lebih baik, tetapi kami semua juga boleh menjadi lebih baik, dan kami akan cuba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

