khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer daripada DAP menzahirkan kekecewaannya susulan kenyataan mahu ‘membungkus’ Anthony Loke di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Rayer ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini turut mempersoalkan mengapa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas semua Ahli Parlimen DAP memberikan kerjasama menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid.
“Saya bercakap ini daripada hati sanubari saya. Setelah Kerajaan MADANI ditubuhkan, semua Ahli Parlimen DAP telah berikan kerjasama penuh menyokong sepenuhnya pimpinan Tambun (Anwar), pimpinan Bagan Datuk (Bagan Datuk).
“Umpamanya Bagan Datuk, pergi ke Chennah (kata) kita ‘bungkuskan’ Setiausaha Agung DAP (Loke) di Chennah. Kenapa kenyataan ini dikeluarkan? Adakah ini menunjukkan keikhlasan beliau?
“Saya dukacita. Saya sebagai backbencher… mungkin Setiausaha Agung saya, YB Seremban (Loke) tidak mahu mengeluarkan kenyataan ini tetapi saya sebagai backbencher perlu nyatakan kehampaan saya terhadap Bagan Datuk yang mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Rayer turut meminta agar Ahli Parlimen BN terutamanya UMNO agar ikhlas berkawan.
“Saya dukacita Ahli-Ahli Parlimen BN, UMNO terutamanya di dewan di sini, kita duduk bersama-sama, (tetapi) semasa di Johor dan Negeri Sembilan, tudia masuk belasah DAP.
“DAP dituduh, semua salah DAP. Rugi TH, salah DAP. Kenapa kita tak tanya, kenapa TH sampai ke tahap ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

