Kuala Lumpur : Persatuan Makanan dan Restoran Malaysia (FRA) melancarkan promosi rasmi Jianghu Market dan Jom Makan x Visit Malaysia 2026 (VM2026) sebagai inisiatif pelancongan makanan nasional utama bagi memacu program gastronomi global negara.
Majlis yang merasmikan rangkaian program F&B berskala besar itu turut memformalkan dua Memorandum Kerjasama (MoU) serta mengumumkan penubuhan rasmi Bahagian Masakan Halal FRA.
Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pakej Kementerian Pelancongan Malaysia, Azmi Abdullah.
Menurut Presiden FRA, Dr Dillon Yeap, pihaknya komited menjalinkan kerjasama jangka panjang bersama Kementerian Pelancongan selaras dengan matlamat transformasi pelancongan negara menjelang VM2026.
“Pasar Jianghu menampilkan konsep budaya asli berasaskan IP HuHu the Panda yang mengumpulkan makanan jalanan tempatan autentik dan pameran budaya. Kami turut bekerjasama dengan maskot rasmi Tourism Malaysia, Wira dan Manja.
“Kami juga melancarkan pendaftaran percuma platform Jom Makan x Visit Malaysia, iaitu pangkalan data terpusat mengumpulkan kedai makan ikonik dan hidangan warisan di seluruh negara sebagai panduan rujukan rasmi pelancong,” katanya.
Tambahnya, dua MoU turut dimeterai antara FRA bersama Jianghu Market dan VYBE Platform untuk mempercepatkan publisiti pelancongan makanan menerusi ekosistem pemasaran digital berasaskan teknologi AI.
Azmi Abdullah pula menegaskan pelancongan makanan adalah antara sektor keutamaan di bawah agenda nasional VM2026.
Sementara itu, FRA bakal menganjurkan tiga acara kemuncak serentak di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang iaitu Pertandingan Chef King Antarabangsa Pulau Pinang (BOTC) yang menghimpunkan 2,000 chef dari 15 negara, Ekspo Gourmet Antarabangsa (IGE), serta Majlis Anugerah Raja Makanan Asia ke-21 bermula pada 21 hingga 24 Oktober ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

