Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini meluahkan rasa segan selepas dianugerahkan gelaran Biduanita.
Menurut pelantun lagu Cindai itu, gelaran tersebut tidak mengubah dirinya, malah beliau tetap menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, isteri, dan juga usahawan.
“Saya tetap Siti yang sama” – Siti Nurhaliza

Dalam kenyataan terbaru, Siti menegaskan bahawa beliau masih individu yang sama seperti sebelum ini.
Tak mengubah apa-apa mengenai Siti Nurhaliza pun. Segan sebenarnya dengan gelaran Biduanita, panggil saja Siti macam biasa. Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dalam rumah tangga.
Siti turut menjelaskan bahawa gelaran tersebut tidak menjadikan beliau berbeza di mata peminat.
Jangan segan sebab gelaran

Biarpun menghormati gelaran Biduanita, Siti berharap peminat tidak perlu rasa segan untuk menyapa atau mendekatinya.
Biasanya saya lebih selesa orang panggil Siti Nurhaliza, tapi untuk mereka menghormati anugerah itu, saya hormatlah. Nanti orang cakap tak bersyukur dan tak menghargai pula kan?
Tambahnya lagi, beliau menyerahkan kepada peminat bagaimana mereka ingin memanggilnya. Namun, apa yang penting, Siti Nurhaliza yang mereka kenali sebelum ini tetap sama.
Tak perlu pun mereka nak rasa segan nak dekat atau apa. Macam mana mereka kenal saya, itulah saya.
#OhmediaNasihat
Gelaran hanyalah simbol penghormatan, tetapi hati yang merendah diri adalah anugerah sebenar. Datuk Seri Siti Nurhaliza membuktikan bahawa kejayaan tidak pernah membuatkan beliau lupa asal usul. Dalam kehidupan, jadilah insan yang mesra dan mudah didekati, walau setinggi mana pun pencapaian kita.





