Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 pacu kerjasama ekonomi Malaysia-China

Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 pacu kerjasama ekonomi Malaysia-China

Kuala Lumpur: Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini, membuka tirai dengan penuh meriah, memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.

Acara yang julung kali diadakan ini menyaksikan kehadiran lebih 200 pempamer, merangkumi jenama-jenama terkemuka dari China dan Malaysia, serta menjangkakan nilai transaksi perdagangan mencecah RM60 juta.

Ekspo ini turut menjadi platform penting bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang dibina atas asas kepercayaan dan kerjasama berdekad lamanya.

Pengarah Urusan JMM Holding dan JMM Exhibition, Albert Chan berkata, ekspo ini bukan sekadar pertemuan perdagangan, tetapi simbolik kepada hubungan erat kedua-dua negara yang terus berkembang.

Beliau berkata, pepatah Cina menyebut, ‘Orang dulu menanam pokok, generasi berikut menikmati teduhannya,’ menggambarkan usaha pemimpin terdahulu yang perlu diteruskan untuk mencapai pertumbuhan kolaboratif.

“Ekspo ini menonjol dengan kehadiran hampir 200 pempamer yang mempamerkan pelbagai produk merangkumi sektor seperti teknologi hijau, tenaga baharu, fesyen, produk gaya hidup, dan inovasi rumah pintar.

“Penganjur menekankan bahawa acara ini bukan sahaja memanfaatkan perniagaan tempatan, tetapi juga menjadi pintu masuk bagi syarikat China menerokai pasaran Asia Tenggara.

“Kehadiran 80 peratus pempamer dari China mencerminkan minat tinggi mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab strategik ke Asia Tenggara,” katanya ketika ucapan perasmian pameran berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Malaysia Guangdong Chamber of Commerce, Datuk Tang Zhi Nian.

Beliau menambah, penyertaan delegasi antarabangsa dari China dan Pakistan menyerlahkan peranan Malaysia sebagai pusat perdagangan serantau.

Sokongan terhadap kelestarian, ESG

Sejajar dengan hala tuju Malaysia ke arah kelestarian dan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), ekspo ini turut menampilkan inovasi mesra alam seperti sistem tenaga solar, teknologi simpanan tenaga dan cerucuk pengecasan.

Langkah ini menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan sasaran 31 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.

Chan menegaskan bahawa teknologi hijau adalah komponen penting dalam membentuk masa depan lestari dengan matlamat jangka panjang pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.

Ekspo tiga hari ini dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung, termasuk pemimpin perniagaan, usahawan dan orang awam.

Selain itu, kolaborasi dengan 120 penstrim langsung berbilang kaum tempatan dijangka meningkatkan lagi jumlah perdagangan dan memperluaskan capaian pasaran.

Chan berkata, inisiatif ini membolehkan pengguna tempatan mendapatkan produk berkualiti tinggi pada harga rendah, terus daripada pengeluar tanpa kos platform pihak ketiga.

“Dalam usaha untuk memperluaskan jejaknya ke Asia Tenggara, kami berharap supaya acara sulung ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan masa depan.

“Ekspo ini juga mencerminkan usaha berterusan kerajaan Malaysia dan persatuan perniagaan dalam memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara-negara serantau,” katanya.

Ekspo ini akan berlangsung sehingga 1 Disember dan dijangka memberi impak besar dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan meletakkan Malaysia di peta perniagaan serantau.

Layari laman rasmi JMM Exhibition atau saluran media sosial mereka untuk maklumat lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top