am@hmetro.com.my
Sik: Seorang wanita terkejut apabila ternampak seekor ular sawa kekenyangan dengan perut besar dipercayai baru menelan kambing boer peliharaannya di Kampung Keda Bendang Man, di sini hari ini.
Wanita berusia 50-an itu menyedari kejadian itu ketika sedang menoreh getah berhampiran kandang kambing berkenaan kira-kira jam 10 pagi.
Kerana bimbang dan terkejut melihat kejadian itu, wanita itu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, ular sawa batik itu berkemungkinan tersesat selepas banjir berlaku beberapa hari lalu termasuk kawasan Weng.
“Reptilia seberat 15 kilogram dan panjangnya empat meter dipercayai lapar dan baru menelan kambing boer milik penduduk kampung itu.
“Bomba mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular sawa itu kerana saiznya yang besar dan berat menyebabkan ia susah untuk ditarik ke ruang kerja selesa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, ular sawa itu berjaya ditangkap menggunakan penjerut dan dilakukan dengan berhati-hati walaupun reptilia itu kekenyangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




