am@hmetro.com.my
Tawau: Saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia cuba menghentikan perbuatan salah seorang tertuduh daripada terus memukul Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di bilik asrama 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, pada malam 21 Mac lalu.
Saksi Pendakwaan ke-14, Muhamad Rezki @ Rekie bin Zainal, 20, berkata, dia mendengar Mohamad Nazmie Aizzat meminta tolong namun tidak dapat membantu kerana dihalang dan ditolak keluar oleh tertuduh sebelum bertindak mengunci bilik terbabit.
Bekas penuntut Diploma Teknologi Maklumat di kolej itu berkata, dia mendengar Mohamad Nazmie Aizzat merayu, “Tolong Ki (panggilan Muhamad Rezki), enda (tidak) larat sudah aku,” ketika dia cuba menghentikan perbuatan tertuduh daripada terus memukul mangsa.
Saksi itu yang kini bekerja sebagai juruteknik komputer ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, menjelaskan ketika itu mangsa mengalami kecederaan iaitu bibir berdarah selain terdapat kesan cedera di belakang badan mangsa.
Juhn Tao: Dalam perenggan ketiga pernyataan saksi, kamu nyatakan ada minta tertuduh kedua jangan pukul Aizzat, apa respons tertuduh kedua ketika itu?
Muhamad Rezki: Dia cakap ya.
Juhn Tao: Dalam perenggan ketiga baris enam pernyataan saksi, kamu juga nyatakan nampak bibir Aizzat berdarah dan ada kesan cedera. Saya rujuk kepada kamu satu set gambar ID3 (gambar 1 hingga 34). Dalam gambar ini boleh nyatakan gambar mana yang menunjukkan kecederaan seperti yang kamu lihat itu? Beritahu nombor berapa?
Muhamad Rezki: Bibir berdarah gambar nombor 17 manakala belakang ada kesan cedera gambar nombor 23.
Dalam pada itu, Muhamad Rezki juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin bahawa dia sebagai saksi tidak mengetahui bagaimana bibir si mati boleh terluka atau cedera selain mendakwa bukan anak guamnya yang menyebabkan kecederaan si mati kerana ketika kejadian bilik asrama itu berkunci dari dalam.
Bagaimanapun, dia bersetuju bahawa perkataan yang didakwa didengarnya, “Tolong Ki, enda larat sudah aku,” tidak diikrarkan di dalam penyataan saksinya.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-15 Ahmad Jafnianiq Johari, 19, memberitahu mahkamah bahawa dia melihat Mohamad Nazmie Aizzat duduk bersandar di almari sambil memohon maaf kepada tertuduh kedua yang ketika itu dalam keadaan marah.
Katanya, dia sempat menyerahkan medical kit kepada tertuduh kedua sebelum membawa Mohamad Nazmie Aizzat pergi ke tandas exco namun tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu.
Prosiding perbicaraan hari kelapan hari ini membabitkan seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Perbicaraan dihadapkan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.
TAWAU 3 DISEMBER 2024. Seramai 13 remaja yang dituduh membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, hadir pada prosiding hari kelapan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. – Foto NSTP/Abdul Rahemang Taiming.
From: Ar
© New Straits Times Press (M) Bhd




