Harun ziarah kubur isteri, lepas kerinduan

Harun ziarah kubur isteri, lepas kerinduan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Jeram: “Dulu saya selalu lawat kubur arwah mak di Bukit Kapar, sekarang bertambah lagi apabila melawat kubur arwah isteri pula,” kata pelakon veteran, Harun Hashim mengulas situasinya selepas kematian isteri, Sakinah Ganjali baru-baru ini.

Sakinah, 48, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada jam 9.45 pagi 20 November lalu akibat kanser payudara tahap empat.

Harun, 68, berkata, kehidupannya kini sunyi dan berbeza. Dia banyak menghabiskan masa menziarahi kubur isterinya di kawasan berdekatan tempat tinggalnya sekarang di Kampung Bukit Hijau, di sini.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan berkunjung ke kuburnya sekurang-kurangnya tiga kali sehari kerana terlalu rindukan dia. Dapat berada di situ pun dah cukup menyenangkan hati saya.

“Saya masih terasa kehilangannya kerana kami dah hidup bersama selama 12 tahun. Sepanjang tempoh itu dia menjadi tulang belakang saya di saat saya jatuh dan memberi semangat untuk saya bangkit.

“Arwah sangat rajin mencari rezeki memandangkan saya tiada tawaran berlakon dan hilang punca pendapatan. Dia lah yang bertungkus lumus jual kerepek, makanan dan sebagainya,” katanya.

Harun berkata demikian semasa menerima kunjungan Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim dan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang menyantuninya, semalam.

Harun yang mengalami masalah penglihatan mata kiri diliputi selaput, kencing manis dan kolesterol memaklumkan dia baru sahaja menyewa kediaman ini memandangkan ia berdekatan dengan kubur isterinya.

“Alhamdulillah… deposit rumah ini adalah dari sumbangan orang ramai sebelum ini. Untuk sewa bulanan, saya harap pihak Lembaga Zakat Selangor dapat membantu selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Khadijah atau Khaty berkata, dia bersimpati dengan nasib Harun dan akan membantu mencantikkan rumah itu mengikut kemahirannya.

“Apabila tengok keadaan rumahnya, saya berasa terpanggil untuk membantu. Lagipun kami adalah kawan lama. Kami pernah berlakon bersama satu drama kira-kira 15 tahun lalu.

“Walaupun jarang berjumpa, hubungan kami kekal baik. Dia juga rakan baik arwah abang saya, Latif Ibrahim. Insya Allah saya akan buat demikian dalam masa terdekat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top