mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen (JIM) menyasarkan melaksanakan kaedah pusingan penugasan pegawai bertugas tidak melebihi tempoh lima tahun, secara sepenuhnya sebelum pertengahan tahun depan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketika ini pihaknya berjaya mencapai lebih 65 peratus daripada petunjuk prestasi utama (KPI) disasarkan dalam melaksanakan langkah itu bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai bertugas termasuk isu berkaitan sindiket counter setting.
“Kita sudah buat pusingan bagi mereka yang berkhidmat ataupun bertugas di (sesuatu) kaunter Imigresen itu (supaya tidak) melebihi lima tahun.
“Sekarang KPI kita 65 peratus (melaksanakan pusingan kerja pegawai) dan buat masa ini kita sudah pun melepasi KPI lebih daripada 65 peratus.
“Perkara ini kita akan teruskan dari semasa ke semasa dan saya mengambil kira kalau boleh kita hendak capai 100 pusingan kerja sebelum pertengahan tahun depan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat di Media Prima Berhad (MPB), Balai Berita di sini, hari ini.
Hadir menyambut delegasi itu ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar; Pengarang Kumpulan, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin serta Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim.
Sementara itu, Zakaria berkata, penambahan 40 sistem pagar automatik (autogate) baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk negara sedang dalam peringkat akhir dan dijangka selesai hujung tahun ini.
“(Sebelum ini) ambil masa 10 hingga 15 saat untuk melepasi autogate jadi melalui pengguna kod QR, kita boleh membaca atau melepasi autogate itu kurang lima saat.
“Ini satu penambah baikan yang kita akan laksanakan dan setakat ini statusnya (penambahan 40 autogate) masih di peringkat perolehan.
“Berbaki dua tiga minggu ini, kita jangka perkara ini akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Berhubung pemutihan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berakhir 31 Disember ini, Zakaria berkata, hampir 80 peratus berjaya dihantar pulang ke negara asal daripada 202,245 orang yang mendaftar secara sukarela dalam program ini.
“Bakinya kita sedang pergiatkan dalam proses untuk selesaikan dan kita tambah lagi kuota untuk pastikan semua yang berdaftar ini dapat kita selesaikan.
“Kita akan teruskan operasi penguatkuasaan dan sekiranya ada yang masih tinggal dalam negara ini tertangkap selepas program ini tamat, kita akan ambil tindakan perundangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
