Perubahan di Syria sinar baharu buat umat Islam

Perubahan di Syria sinar baharu buat umat Islam

– Advertisement –

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan perkembangan terkini di Syria sebagai titik perubahan penting yang bakal memberi sinar baharu kepada umat Islam.

Beliau menyentuh beberapa aspek penting melibatkan perubahan kepimpinan di negara itu antaranya kejatuhan pemerintahan Presiden Syria, Basyar al-Assad, membuka ruang kepada perkembangan baru yang signifikan

Antara yang menjadi perhatian beliau ialah tindakan Israel membatalkan Perjanjian Golan 1974 dengan menceroboh kawasan bukit Golan, termasuk menduduki Jabal Syeikh Suri, al-Qunaitirah, dan sepanjang garis sempadan di kawasan itu.

“Zionis Israel melancarkan tidak kurang 100 serangan ke atas bumi Syria kononnya untuk menyekat kumpulan bersenjata yang mengambil alih tampuk kuasa Syria daripada memilikinya,” katanya dalam media sosial miliknya.

Dr Muhammad Khalil turut memuji ucapan bersejarah Ketua Pemerintah Hay’at Tahrir al-Sham (HTS), Ahmad al-Syara’ yang disampaikan di Masjid Amawi, sebagai simbolik peralihan kuasa kepada wajah baharu Syria.

Beliau menambah bahawa rakaman ucapan kumpulan pejuang HTS di masjid itu, yang mensasarkan pembebasan Masjid al-Aqsa, membawa mesej penting kepada dunia Islam.

Dalam perkembangan lain jelasnya, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, menyeru semua kumpulan di Syria agar bertenang dan mengadakan perbincangan ke arah peralihan kuasa yang melibatkan semua pihak.

Sementara itu katanya, White House dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan HTS daripada senarai kumpulan pengganas sebagai respons kepada situasi terkini.

Khalil turut menyentuh laporan yang menyatakan Basyar al-Assad kini berada di Rusia bersama keluarganya di bawah perlindungan negara itu.

Tambahan pula menurutnya, pentadbiran sementara Syria dilaporkan sedang bersiap sedia menyambut kepulangan rakyat di perantauan melalui Lapangan Terbang Damascus.

“Bendera Syria baharu dikibarkan di kedutaan Syria, Moscow. Perkembangan ini menunjukkan satu simbolik Rusia merestui perubahan yang berlaku dan merestui pilihan rakyat Syria..

“Bumi Syam (Syria) dan Yaman adalah dua tempat yang disebut oleh Nabi SAW supaya umat Islam memberi tumpuan di akhir zaman ketika banyaknya berlaku fitnah. Dengan perkembangan semasa yang berlaku insyaAllah ia bakal memberi sinar baharu kepada umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

– Advertisement –

Scroll to Top