Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan jasad bayi dibekukan selama dua minggu.
Menerusi dakwaan yang tular di media sosial, bayi bernama Muhammad Adham Mikail tidak dapat dikebumikan lebih awal kerana bapa tidak mampu membayar bil bersalin di sebuah hospital swasta.
KKM sudah jalankan siasatan

Memetik laporan Harian Metro, Dr Dzulkefly memohon masyarakat bertenang dan menunggu hasil siasatan dilengkapkan.
Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan untuk pihak-pihak berwajib yang menjalankan siasatan termasuk CKAPS pun turun sama menjalankan siasatan.
Menurut beliau, pihak CKAPS telah turun padang untuk mendekati pihak yang terlibat bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan teliti.
Harap bersabar tunggu fakta sebenar

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bayi malang itu serta menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan spekulasi sebelum fakta sebenar diperoleh.
Beliau mahu masyarakat bersikap penuh ihsan dan menjaga empati dalam kes viral ini. Menurutnya, kes ini bukan mudah kerana terdapat dakwaan daripada pelbagai pihak.





