mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Unit Anjing Pengesan Hidupan Liar (K9) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Kargo KLIA melaksanakan operasi pemantauan terhadap kargo di pusat kargo KLIA.
Operasi yang bermula pertengahan Julai lalu hingga pertengahan Ogos itu dilaksanakan hampir sebulan bagi mengesan dan membanteras kegiatan penyeludupan hidupan liar.
PERHILITAN memaklumkan operasi berkenaan turut dilaksanakan di hampir semua pusat logistik utama.
Menurutnya, operasi pematuhan kargo memperlihatkan keupayaan skuad K9 PERHILITAN dalam mengesan bau tersembunyi.
“Operasi ini membabitkan pemeriksaan terhadap kargo bagi mengesan bukti penyeludupan hidupan liar seperti gading gajah, sisik tenggiling, tulang harimau, mahupun hidupan liar hidup yang disumbat ke dalam bagasi dan kotak kargo oleh sindiket penyeludupan.
“Kehadiran fizikal Unit K9 PERHILITAN di laluan utama kargo bukan sahaja berperanan sebagai alat pengesanan, malah bertindak sebagai elemen pencegahan terhadap kegiatan penyeludupan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
PERHILITAN berkata, pihaknya bersama AKPS akan terus memperketat kawalan di titik panas pintu masuk negara secara berterusan bagi memastikan biodiversiti negara sentiasa terpelihara.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi PERHILITAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd
