am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di Pulau Sebang, di sini ditahan reman dua hari bermula hari ini untuk siasatan selepas disyaki memukul pelajar ‘junior’ dan memaksanya menjadi ‘balaci sebagai syarat berdamai.
Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai bertindak demikian selepas perselisihan faham berhubung mesej WhatsApp, malah dia juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah hingga esok.
Katanya, siasatan awal mendapati perselisihan faham bermula apabila mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek menerusi mesej WhatsApp.
“Ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas kira-kira 10 pagi Jumaat lalu (pelajar lain keluar rehat), suspek tampil dan meluahkan rasa tidak berpuas hati sebelum menumbuk mangsa bertubi-tubi.
“Mangsa cuba melindungi diri, namun suspek didakwa menendangnya beberapa kali sehingga terkena muka, kepala, perut dan kemaluannya,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad berkata, mangsa yang ketakutan kemudian meminta maaf dan cuba berdamai, namun suspek didakwa masih menumbuknya selain memberi amaran akan memukul mangsa lagi.
“Suspek kemudian memanggil semula mangsa yang ketika itu sedang menahan kesakitan dan memberitahu mangsa perlu menjadi ‘balacinya’ jika mahu berdamai serta tidak mahu dipukul lagi.
“Selepas itu suspek memberikan wang kepada mangsa dan mengarahkannya membeli minuman. Mangsa menuruti arahan kerana takut,” katanya.
Menurutnya, mangsa melapor kejadian kepada guru sebelum pulang ke rumah dan kecederaannya bertambah serius selain mengalami kesukaran membuang air kecil yang menyebabkan dia memaklum kejadian kepada bapanya.
“Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan selama sehari untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Ahmad berkata, bapa mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek untuk tindakan lanjut.
“Sebelum ditahan, suspek turut didakwa mengganggu ibu bapa dan abang mangsa menerusi WhatsApp dengan mendakwa kononnya mempunyai ‘kabel polis’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
