Isu tular, pempengaruh Kim Seri akan keluar kenyataan rasmi

Isu tular, pempengaruh Kim Seri akan keluar kenyataan rasmi

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan, Kim Seri akan memberi kenyataan rasmi di akaun laman sosialnya nanti berhubung isu tular yang mengaitkan dirinya.

Kim Seri, 39, atau nama sebenarnya Seri Azlina memaklumkan perkara itu menerusi ruangan Insta Story (IG Story) dekat akaun Instagramnya (IG), hari ini.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi di IG dan TikTok berkenaan isu yang sedang tular kemudian. Terima Kasih,” tulisnya ringkas.

Sejak semalam, tular di TikTok video luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri.

Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa dia bersama rombongan tersadai di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan Kim Seri.

Wanita itu mendakwa sudah membuat semakan di kaunter tiket namun namanya bersama rombongan tiada dalam rekod.

Bagi mendapat kepastian, wanita itu cuba menghubungi Kim Seri namun diminta menunggu sebelum diberitahu terdapat masalah teknikal untuk membuat tempahan.

Di akhir video, wanita itu menuntut Kim Seri bertanggungjawab kerana terkilan dengan apa yang berlaku selepas membuat pembayaran penuh awal seperti diminta pempengaruh berkenaan.

Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.

Harian Metro cuba menghubungi Kim Seri untuk mendapatkan kenyataannya namun panggilan dibuat tidak dijawab.

Sebelum ini, Kim Seri pernah dikritik lantaran syarikat ejen pelancongan miliknya didakwa memberikan perkhidmatan yang teruk.

la susulan rungutan beberapa pelancong yang pernah mengambil pakej pelancongan ke Korea Selatan di bawah syarikatnya.

Menyedari kritikan warganet, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan mengakui apa yang berlaku adalah disebabkan kelemahan daripada pihak pengurusan syarikatnya.

Dalam masa yang sama, pempengaruh itu mohon diberikan ruang dan masa untuk memperbaiki kelemahan di pihaknya.

Menurut rekod, Kim Seri mula dikenali selepas banyak berkongsi pengalamannya menyambung pelajaran di Korea Selatan menerusi pelbagai video di TikTok.

Kerja kerasnya menampakkan hasil apabila berjaya membuka sebuah restoran terletak di Myeondong, Seoul sejak September tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top