London: Wolverhampton Wanderers dilaporkan mencapai persetujuan untuk melantik Vitor Pereira sebagai pengurus baharu mereka, menggantikan Gary O’Neil yang dipecat pada hujung minggu lalu.
Menurut laporan BBC, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sedang bergelut itu akan membayar kira-kira €1 juta (RM5 juta) kepada Al-Shabab, kelab Liga Pro Saudi, untuk membawa Pereira ke Molineux.’
Sky Sports pula menyatakan bahawa terma peribadi dipersetujui, dan pengendali berusia 56 tahun itu dijangka menandatangani kontrak selama satu setengah tahun.
Pereira difahamkan akan tiba di England pada Selasa, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam tempoh 24 jam.
Sepanjang kariernya, Pereira pernah hampir dilantik sebagai pengurus Everton pada 2022.
Beliau juga mempunyai rekod cemerlang, termasuk memenangi dua gelaran Liga Primeira bersama Porto dan satu gelaran Liga Super Greece dengan Olympiakos.
Pemecatan O’Neil berlaku selepas Wolves tewas empat perlawanan berturut-turut, termasuk kekalahan 0-2 kepada West Ham Sabtu lalu.
Kekalahan itu meninggalkan Wolves di tangga kedua tercorot EPL dengan hanya sembilan mata daripada 16 perlawanan.
O’Neil, yang menggantikan Julen Lopetegui pada Ogos 2023, baru sahaja menandatangani kontrak baharu selama empat tahun pada Ogos lalu sebelum dipecat.
Tugas pertama Pereira tidak mudah, kerana Wolves akan bertandang ke Stadium King Power untuk menentang Leicester City, yang kini lima mata di atas mereka dalam carta liga.
Dengan harapan tinggi daripada penyokong, Pereira dijangka membawa nafas baharu dalam usaha menyelamatkan Wolves daripada penyingkiran musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




