London: Conor McGregor mengesahkan akan kembali beraksi buat pertama kali sejak 2021, tetapi bukan di dalam Octagon.
Kali ini, bintang seni bela diri campuran (MMA) itu memilih gelanggang tinju untuk bertemu Logan Paul dalam satu perlawanan pertunjukan di India.
McGregor, 36, mengumumkan persetujuan awal bersama keluarga Ambani untuk pertarungan itu menerusi hantaran di platform X.
“Khabar angin tentang perlawanan dengan (Ilia Topuria) adalah tidak benar,” tulis McGregor.
“Saya sedang dalam perjanjian awal dengan keluarga Ambani untuk menghadapi Logan Paul dalam pertunjukan tinju di India. Saya telah bersetuju. Selepas itu, saya akan kembali ke Octagon.
Logan, adik kepada Jake Paul, terkenal sebagai bintang WWE dan mempunyai rekod dua perlawanan tinju profesional (1 menang, 1 kalah).
Jake baru-baru ini mencipta kejutan apabila menewaskan Mike Tyson, 58, dalam perlawanan tinju di Texas.
McGregor, bekas juara UFC dalam dua kategori berat, kali terakhir bertarung pada 2021 apabila tewas dua kali kepada Dustin Poirier.
Beliau dijadualkan kembali ke UFC 303 pada Jun lalu, tetapi menarik diri kerana kecederaan jari kaki.
© New Straits Times Press (M) Bhd




