Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot, tidak terkejut melihat pasukannya mencatat kejayaan di semua kejohanan hanya beberapa bulan selepas beliau mengambil alih jawatan daripada Jurgen Klopp.
Ketika persediaan menghadapi perlawanan suku akhir Piala Liga menentang Southampton, Slot menjelaskan bahawa pencapaian ini adalah sesuatu yang normal bagi kelab sebesar Liverpool.
Slot berkata, dalam sidang media pra perlawanan hari ini: “Adalah perkara biasa untuk Liverpool bersaing bagi semua trofi dan bertahan lama dalam setiap kejohanan. Perkara yang sama berlaku musim lalu apabila kelab ini memenangi kejohanan ini,” katanya.
Liverpool kini berada di puncak Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara selepas merekodkan 19 kemenangan dalam 23 perlawanan musim ini.
Mereka juga dijangka memulakan kempen Piala FA pada Januari depan, dengan harapan menambah koleksi trofi mereka.
Slot merancang untuk merehatkan beberapa tonggak utamanya bagi aksi menentang Southampton, memandangkan mereka akan bertemu Tottenham dalam saingan Liga Perdana hujung minggu ini.
Beliau tidak menjangka Diogo Jota, yang baru kembali daripada kecederaan dan menjaringkan gol sebagai pemain gantian menentang Fulham, akan diturunkan sebagai kesebelasan utama. Sebaliknya, Federico Chiesa mungkin beraksi buat kali pertama sejak September.
Caoimhin Kelleher akan kembali menjaga gawang, selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika menggantikan Alisson Becker. Sementara itu, Kostas Tsimikas hampir pulih sepenuhnya dan mungkin tersenarai.
Namun, cabaran utama Slot adalah kekurangan pemain pertahanan yang cergas.
“Kami hanya mempunyai empat pemain pertahanan yang tersedia. Jadi, ada kemungkinan pemain akademi akan mendapat peluang atau kami akan menyusun pemain di posisi yang tidak dijangka,” katanya.
Slot tidak akan berada di bangku simpanan untuk perlawanan esok selepas menerima kad amaran ketiga musim ini ketika menentang Fulham.
Liverpool yang kini berada di prestasi terbaik akan berharap momentum cemerlang mereka diteruskan, walaupun dengan barisan pemain yang dirombak, dalam usaha memburu kejayaan di Piala Liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd


