nurul_husna@hmetro.com.my
AKTA 716 Seksyen 45 Pemuliharaan Hidupan Liar menjelaskan penandaan salah satu kriteria penting bagi menyimpan atau memelihara hidupan liar termasuk haiwan eksotik.
Menurut panel dilantik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mohd Hamizan Nawai, 47, hanya panel berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dibenarkan melaksanakan prosedur itu terhadap haiwan.
“Penandaan biasanya dilakukan pihak dilantik Perhilitan seperti doktor veterinar, pemegang lesen perniagaan yang berpengalaman, pemegang permit khas atau pemilik haiwan eksotik berpengalaman.
“Lain spesies lain kaedah penandaannya berdasarkan yang termaktub dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.
“Bagi burung, kaedah penandaan unggas itu ialah cincin khas dipasang pada kaki.
“Sementara untuk spesies reptilia atau ular pula selalunya menggunakan mikrocip yang diletak di bawah kulit bahagian tepi cloaca (bahagian tepi ekor ular sebelum duburnya).
“Haiwan besar menggunakan mikrocip untuk penandaan selalunya bawah leher haiwan terbabit,” katanya yang juga pemilik haiwan.
Penandaan ini juga kata Mohd Hamizan, penting dalam membezakan antara haiwan berlesen ataupun tidak.
“Haiwan eksotik terutama spesies berlesen seperti kebanyakan spesies eksotik tempatan diwajibkan melalui prosedur penandaan.
“Ini penting kerana ia membezakan antara haiwan berlesen atau yang datang dari ‘pasaran gelap.’
“Pemilik berisiko didenda tidak kurang RM10,000 jika pemeriksaan Perhilitan mendapati haiwan berlesen tidak bertanda.
“Seperti satu insiden baru-baru ini yang mana Perhilitan merampas puluhan burung murai batu dalam satu pertandingan burung terbabit.
“Meskipun ada pemilik mendakwa mereka mempunyai lesen, tetapi tidak memasang cincin penanda, itu dikira satu kesalahan dan menyebabkan burung terbabit dirampas,” katanya.
Tambah Mohd Hamizan lagi, penandaan haiwan juga penting dapat membantu pemilik jika haiwan terlepas atau hilang.
“Satu lagi kebaikan penandaan ialah pemilik boleh mengenal pasti haiwan milik mereka jika ditemui semula.
“Alat khas diguna dalam mengimbas kod pada mikrocip atau cincin penanda dipasang.
“Antara haiwan kerap mendapatkan perkhidmatan penandaan oleh pemilik ialah ular, landak, musang, kancil, biawak dan banyak lagi. Kebanyakannya ialah haiwan yang dilindungi Perhilitan,” katanya.
Malah alat penanda juga mempunyai pelbagai saiz mengikut saiz haiwan.
“Contohnya mikrocip antara lapan milimeter hingga 12 milimeter.
“Biasanya penandaan dilakukan pemilik pada usia satu tahun dan ke atas kerana bimbang komplikasi jangkitan akibat pemasangan alat penanda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




