Australia 'heret' HSBC ke mahkamah berhubung isu pelanggan mangsa 'scammer'

Australia 'heret' HSBC ke mahkamah berhubung isu pelanggan mangsa 'scammer'

London: Pengawal selia korporat Australia memulakan tindakan undang-undang terhadap sekutu tempatan bank global HSBC kerana mendakwa syarikat itu gagal memberi tindak balas dengan betul kepada kira-kira 950 laporan pelanggan yang kerugian hampir satu juta dolar.

Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (Asic) mendakwa HSBC mengambil secara purata 145 hari untuk meneliti perkara berkaitan dengan pembayaran dan transaksi yang tidak dibenarkan.

Asic menambah bahawa antara Januari 2020 dan Ogos 2024, HSBC Australia menerima laporan transaksi itu hingga mengakibatkan kerugian pelanggan kira-kira 23 juta dolar Australia (kira-kira RM69 juta).

Kira-kira 16 juta dolar Australia (kira-kira RM48 juta) daripada kerugian itu berlaku antara Oktober 2023 dan Mac lalu.

Badan kawal selia itu mendakwa HSBC Australia tidak mempunyai kawalan yang mencukupi untuk mencegah dan mengesan pembayaran yang tidak dibenarkan, gagal menyiasat laporan pelanggan mengenai transaksi tanpa kebenaran dengan segera, dan gagal mengembalikan perkhidmatan perbankan tepat pada masanya.

Tindakan undang-undang itu dibuat pada masa pihak berkuasa Australia, serta bank menggandakan usaha untuk mengekang penipuan yang berlaku dalam industri perbankan negara itu.

Kira-kira 265,000 penipuan berkaitan perbankan dilaporkan dalam tempoh 12 bulan hingga September lalu di Australia, dengan kira-kira 306.5 juta dolar Australia (kira-kira RM919 juta) dilaporkan hilang dalam tempoh itu, menurut data yang tersedia di laman web Persatuan Perbankan Australia.

“Kami mendakwa kegagalan HSBC Australia berleluasa dan sistemik serta bank gagal melindungi pelanggannya,” kata Timbalan Pengerusi Asic, Sarah Court.

Asic dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menuntut pengisytiharan pelanggaran, penalti kewangan, perintah publisiti buruk dan kos.

“Kami sedang mempertimbangkan perkara yang dibangkitkan dan akan terus bekerjasama dan bekerja secara konstruktif dengan Asic,” kata jurucakap HSBC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top