am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Jay Iswazir, 42, sudah menyerahkan notis tuntutan kepada bekas isteri, Fatimah Azzahra Ahmad susulan tindakannya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.
Jay menyerahkan notis tuntutan itu menerusi peguamnya, Tetuan Chambers Of Aminahtul Mardiah hari ini.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, Jay juga meminta Azzahra membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya bermula tarikh notis tuntutan dikeluarkan iaitu pada 19 Disember 2024.
“Sekiranya Azzahra enggan berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, Jay akan memfailkan tuntutan di mahkamah dan bertindak menuntut ganti rugi,” katanya.
Difahamkan, notis itu dikeluarkan Jay terhadap Azzahra berhubung kenyataan bekas isterinya di Instagram baru-baru ini yang mendakwa pelakon itu ada mengasarinya dalam tempoh tiga bulan perkahwinan serta didesak untuk menggugurkan kandungan.
Selain itu, Azzahra juga mendakwa Jay culas dalam membayar nafkah selama tempoh dia menjadi isteri.
Jay dan Azzahra mendirikan rumah tangga pada Mac 2022 dan mengumumkan perceraian mereka pada 30 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



