Sah angkara perbuatan kumpulan anjing liar – Polis

Sah angkara perbuatan kumpulan anjing liar – Polis

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kematian beberapa ekor kucing di Universiti Malaya (UM), di sini, baru-baru ini disahkan berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.

Ia selepas siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar universiti berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing berkenaan adalah akibat serangan haiwan liar.

“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian ini pada 17, 20 dan 21 Disember lalu. Namun, tiada saksi yang menyaksikan insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

“Aduan rasmi berhubung penganiayaan haiwan juga boleh dibuat menerusi laman web JPV di pautan awa.dvs.gov.my bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan rasa tidak puas hati netizen berhubung kejadian didakwa pembunuhan dua kucing yang dikaitkan dengan perbuatan dera.

Kejadian berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM dan perkongsian itu turut memohon orang ramai untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Kesatuan Pelajar Universiti Malaya Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (KMUM FPE) dilaporkan berkata, pihaknya amat terkejut serta sedih dengan kes penderaan kucing yang berlaku pada 12 Disember dan 16 Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top