sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bersesuaian dengan kos lawatan pramusim kira-kira £8 juta (RM45 juta), Presiden Kelab Penyokong Manchester United di Malaysia, Raf Yaakob berharap kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dapat memperbanyakkan aktiviti bertemu peminat secara terbuka apabila berkunjung ke ibu kota selepas tamat Liga Perdana Inggeris 2024/25 pertengahan tahun depan.
Jelas Raf, situasi itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk peminat Red Devils di Asia terutama dari negara ini mendapatkan akses terus bagi bertemu pemain ternama kelab berkenaan.
Beliau yakin United akan menerima sambutan hangat daripada peminat di sekitar Asia dan disebabkan itu, aktiviti kepada umum akan memeriahkan lagi suasana sepanjang mereka berada di Malaysia.
“Pendapat saya, orang di Eropah atau di England, mereka sudah biasa (menonton United) kerana itu di depan mata mereka tapi bagi orang Asia pula lain, tahap keterujaan itu sangat berbeza sebab kita jarang berjumpa dengan pasukan United.
“Kita mengharapkan United adakan aktiviti untuk umum, biasanya bila datang ke Malaysia, kebanyakan aktiviti tertutup bila membabitkan pasukan atau pemain.
“Sebab itu, saya berharap akan ada aktiviti secara umum untuk beri ruang kepada peminat dari Malaysia lebih mengenali pemain secara lebih dekat. Nak jumpa pemain secara berdepan mungkin sukar, tapi sekurang-kurangnya aktiviti lebih terbuka seperti di pusat beli-belah atau tempat yang peminat boleh datang,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita Inggeris malam kelmarin melaporkan, Manchester United dikhabarkan sedang merancang lawatan pramusim ke Malaysia dalam usaha menjana sekitar £8 juta (RM45 juta).
Di bawah cadangan semasa, pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan terbang ke Malaysia sejurus tamat musim, sebelum jadual perlawanan antarabangsa bermula.
Kunjungan itu dikendalikan oleh TEG Sports, sebuah syarikat acara global yang berpangkalan di Australia, dengan kerjasama penganjur tempatan di Malaysia.
Bagaimanapun, lawatan pramusim ke Malaysia itu setakat ini masih belum disahkan oleh kelab gergas itu.
Mengulas lanjut, Raf berkata, kehadiran juara liga Inggeris sebanyak 20 kali itu juga dilihat mampu memberi impak kepada ekonomi Malaysia.
“Bila Manchester United pilih untuk datang ke Kuala Lumpur, sudah pasti peminat negara jiran seperti Thailand serta Singapura juga akan mengambil peluang untuk datang dan itu akan jadi sebahagian percutian juga.
“Pernah berlaku dekat saya, ketika itu United turun ke China dan Bangkok untuk siri jelajah mereka, jadi saya ambil kesempatan terbang ke China untuk bercuti dan sambil tengok perlawanan di sana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




