Pekerja stor didakwa rakam video rakan sekerja di dalam tandas

Pekerja stor didakwa rakam video rakan sekerja di dalam tandas

Kuala Lumpur: Seorang pekerja stor kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini kerana mengaibkan kehormatan wanita dengan merakam video rakan sekerjanya itu yang sedang ‘melepas hajat’, empat hari lalu.

Lelaki berusia 19 tahun itu didakwa merakam video rakan sekerjanya yang juga juruwang di dalam tandas premis di Jalan Ampang Hilir, Hulu Langat di sini pada 8.23 malam, 20 Disember.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 5 Feb 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda sebelum menjatuhkan hukuman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top