Oscar balik kampung, sertai Sao Paulo

Oscar balik kampung, sertai Sao Paulo

Rio de Janeiro: Pemain tengah antarabangsa Brazil, Oscar, yang pernah beraksi untuk Chelsea, kembali ke Sao Paulo, kelab di mana dia memulakan kariernya, umum kelab itu.

“Selamat datang, Oscar, satu tambahan pemain yang bagus,” tulis teks pada penghujung video yang dimuat naik di akaun media sosial kelab itu.

Oscar atau nama penuhnya Oscar dos Santos Emboaba Junior, 33, menjadi ejen bebas selepas menghabiskan lapan musim di China bersama Shanghai Port, di mana dia tiba pada 2017 sebaik meninggalkan Chelsea.

Pemain tengah menyerang itu memulakan kariernya di Sao Paulo dan membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada 2008.

Dua tahun kemudian, dia berpindah ke kelab Brazil lain, Internacional de Porto Alegre, dalam perpindahan kontroversi yang mencetuskan pertikaian undang-undang.

Oscar, yang memenangi pingat gangsa Olimpik bersama pasukan B-23 Brazil di Sukan Olimpik London 2012, kemudiannya berpindah ke England untuk bermain dengan Chelsea, di mana dia menjaringkan 38 gol dalam 203 perlawanan.

Dalam tempoh empat tahun setengah bersama The Blues, dia memenangi empat trofi, termasuk dua gelaran Liga Perdana Inggeris (2014-2015 dan 2016-2017), Liga Europa (2013), dan Piala Liga Inggeris (2015).

Oscar menjaringkan 12 gol dalam 48 perlawanan untuk Brazil, dengan yang paling diingati adalah satu-satunya gol Brazil ketika dibelasah Jerman 1-7 pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2014 di tanah airnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top