am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis merampas 13.3 kilogram (kg) dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM1.2 juta dan menahan seorang lelaki dalam dua serbuan berasingan pada Isnin lalu dan semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan suspek iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun di Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, suspek ditahan sepasukan anggota JSJN Bukit Aman kira-kira jam 5.30 petang.
“Pemeriksaan dijalankan dalam kenderaan dan menjumpai 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base yang dianggarkan seberat 7.4 kilogram.
“Ekoran itu, pada 27 Disember 2024 (semalam), jam lebih kurang 9.30 pagi, satu lagi serbuan dibuat di sebuah rumah di Puchong, Selangor.
“Dalam serbuan itu kita menjumpai 16 lagi ketulan mampat yang disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan seberat 5.9 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khaw berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 13.3 kilogram bernilai RM1.2 juta dan boleh digunakan oleh seramai 900,000 orang penagih dadah.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan suspek kini ditahan reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 24 hingga 30 Disember ini,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.
“JSJN sentiasa komited untuk membanteras pengedaran dadah dengan lebih agresif bagi memastikan masyarakat malaysia bebas dari ancaman musuh nombor satu negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah, boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




