yusmizal@hmetro.com.my
Mengejutkan apabila lebih 4,000 kes penipuan pelaburan dicatatkan sejak Januari hingga September 2024 membabitkan kerugian ratusan juta ringgit.
Saban hari, ada saja yang menjadi mangsa scammer baik kerani, ahli perniagaan, profesional serta pesara kerajaan sehingga menimbulkan persoalan bilakah isu ini dapat ditangani dengan berkesan.
Penolong Pengarang Berita YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Pengarah Advokasi Khidmat Guam DR MAHMUD JUMAAT untuk mengulas dari perspektif perundangan isu berkenaan dalam Kafe Ahad minggu ini.
Secara umum, apakah peruntukan undang-undang yang ada di negara kita bagi kes penipuan pelaburan dan lain-lain?
Kita dilindungi dengan undang-undang daripada jenayah penipuan pelaburan. Contohnya Seksyen 420 Kanun Keseksaan menyatakan, sesiapa yang menipu dan mendorong orang lain secara tidak jujur untuk menyerahkan harta kepada orang lain, boleh dihukum penjara antara satu hingga sepuluh tahun, dikenakan sebatan, dan denda.
Untuk membuktikan kesalahan ini, pendakwaan perlu membuktikan tiga elemen utama iaitu tertuduh memperdayakan mangsa dan mangsa menyerahkan harta kepada tertuduh akibat perdayaan itu.
Satu lagi keadaan ialah tertuduh dengan niat curang memperdayakan mangsa.
Seksyen 417 Kanun Keseksaan pula menyatakan sesiapa yang menipu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, bagi kes membabitkan penerimaan deposit tanpa lesen, Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan menyatakan bahawa tiada individu atau entiti boleh menerima deposit melainkan dengan lesen sah.
Jika gagal mematuhi peruntukan ini, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Apakah ada peluang untuk mangsa mendapatkan wang mereka semula selepas laporan polis dibuat?
Apabila laporan polis dibuat berkenaan kes penipuan, ramai mangsa berharap mereka mendapatkan wang mereka semula selepas proses undang-undang dijalankan.
Mereka membayangkan pesalah ditangkap, dibicarakan, dihukum, dan kemudian membayar balik duit dicuri. Namun, anggapan ini sebenarnya salah.
Dalam kes jenayah, proses ini membabitkan kerajaan yang mendakwa pesalah dan jika disabitkan kesalahan, pesalah dikenakan hukuman seperti penjara atau denda.
Tetapi, dalam undang-undang jenayah, tiada peruntukan mengarahkan pesalah membayar ganti rugi kepada mangsa.
Oleh itu, walaupun pesalah dihukum, mangsa tidak mendapat semula wang mereka.
Untuk mendapatkan kembali wang yang hilang, mangsa perlu mengemukakan tuntutan sivil di Mahkamah Sivil.
Secara asasnya berkenaan undang-undang, jika mangsa terjebak dalam kontrak akibat penipuan, seperti cadangan fakta yang tidak benar atau janji tidak dilaksanakan, kontrak terbabit boleh dibatalkan berdasarkan Seksyen 14 Akta Kontrak 1950.
Selepas kontrak dibatalkan, mangsa berhak menuntut semula wang yang dibayar kepada penipu, mengikut Seksyen 66 Akta Kontrak 1950.
Ada mangsa tidak mahu membuat laporan kerana bimbang turut berdepan tindakan pihak berwajib. Secara undang-undang, apakah ada keadaan sebegitu?
Terdapat beberapa keadaan apabila mangsa mungkin bimbang untuk membuat laporan polis disebabkan risiko berdepan tindakan undang-undang yang lain.
Salah satu contoh adalah kebimbangan berdepan tindakan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (Amla) dan lain-lain undang-undang yang berkaitan.
Namun, ada masalah lain yang juga perlu dibangkitkan di sini. Mereka berani tampil membuat laporan namun mereka sendiri tidak jelas dengan tujuan laporan dibuat.
Salah satu masalah utama ialah laporan bertujuan salah. Mangsa mungkin membuat laporan dengan niat mendapatkan kembali wang yang hilang akibat penipuan, sedangkan laporan polis sepatutnya difokuskan kepada penyiasatan sama ada berlaku kes penipuan atau tidak.
Polis ada bidang kuasa tertentu dan tidak boleh membuka siasatan jika laporan dibuat dengan tujuan di luar skop kuasa mereka. Oleh itu, penting bagi mangsa memastikan tujuan laporan adalah jelas.
Selain polis dan peguam, ada pihak ketiga mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes scam pelaburan ini. Apa pandangan Dr?
Pihak ketiga seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi, dan syarikat juga memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan kes scam pelaburan ini. Mereka boleh berkolaborasi dengan pelbagai pihak, termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), untuk mengekang aktiviti scam di negara ini.
Contohnya, Whoscall, sebuah syarikat yang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari 2023 berjaya mengurangkan kadar menjawab panggilan penipuan dalam talian daripada 21 peratus kepada 11 peratus dalam tempoh lapan bulan.
Selain itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) juga mendesak kerajaan mewujudkan Akta Anti Scam,
Secara keseluruhan, kerjasama antara pihak ketiga dengan pihak berkuasa adalah langkah yang perlu digalakkan untuk menangani isu scam dengan lebih efektif.
Nasihat Dr kepada mangsa yang terbabit dalam penipuan pelaburan.
Nasihat saya kepada mangsa penipuan pelaburan adalah berhati-hati terhadap ciri utama pelaburan tidak sah, seperti janji pulangan tinggi dalam masa singkat, promosi melalui media sosial, dan permintaan untuk mendepositkan wang ke akaun individu yang tidak berkaitan.
Jangan terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan dan pastikan memeriksa kesahihan sijil atau dokumen yang digunakan.
Sentiasa lakukan penyelidikan, berunding dengan pakar kewangan, dan waspada terhadap teknik tekanan masa digunakan penipu untuk memaksa keputusan terburu-buru. Jika tidak, 2025 ini menyaksikan lebih ramai menjadi mangsa dan lebih ramai scammer kaya-raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




