am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, sudah dihantar pulang ke Kuala Lumpur selepas dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika ditanya perkembangan siasatan polis terhadap Fahmi.
“Ya, dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 9.30 malam tadi.
“Pihak polis hanya menghantarnya ke KKIA, manakala urusan selebihnya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk penghantaran pulang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Fahmi atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin sepatutnya direman dari semalam hingga hari ini untuk siasatan polis.
Siasatan antara lain berkaitan karikatur berbaur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.
Dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, Fahmi, 47, dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, bagi mendapatkan perintah tahanan reman selepas ditahan ketika datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd
