Sindiket pengedaran tumpas, dadah RM8.49 juta dirampas

JOHOR BAHRU: Helah sindiket pengedaran menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal di Persiaran Senibong, Masai, di sini sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar selepas polis merampas dadah bernilai RM8.49 juta di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor turut menahan dua suspek lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun.

Menurutnya, serbuan terhadap sebuah pangsapuri di Seri Alam, Masai, di sini membawa kepada penahanan suspek pertama bersama rampasan pelbagai jenis dadah seberat 96.76 kilogram (kg).

“Antara dadah yang dirampas merangkumi 132,600 biji pil Erimin 5, 53,000 biji pil ekstasi, 290 peket serbuk ekstasi, 13 peket ketamin dan dua peket serbuk methylenedoxymethamphetamine (MDMA).

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 392,098 penagih sekiranya terlepas ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab. Rahaman berkata, serbuan susulan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ehsan Jaya, Desa Cemerlang membawa kepada penahanan suspek kedua yang dipercayai rakan kepada suspek pertama.

“Siasatan mendapati suspek berusia 34 tahun itu bertindak sebagai pembantu kepada dalang sindiket bagi membayar gaji penjaga stor berkenaan. Ujian urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati mereka mempunyai kesalahan jenayah lampau.

“Selain rampasan dadah, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil dengan menyita pelbagai aset bernilai RM945,000 antaranya empat buah kereta iaitu BMW M4, Toyota Vellfire, Honda City Hatchback dan Proton Saga, sebuah motosikal Ezi Ray 01 serta wang tunai berjumlah RM100,000,” katanya.

Tambah beliau, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak Mei lalu dengan mendapat bekalan dari negeri lain sebelum dipasarkan untuk pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek kini direman selama sembilan hari bermula 6 Ogos hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kita juga sedang mengesan dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut yang masih bebas,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top