syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim memberi bayangan mengenai penambahan hari Konsert GenKRU yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Keputusan itu dibuat selepas ramai peminat meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat membeli tiket kerana kesemua tiket pada 3 dan 4 Mei depan habis dijual dengan sangat pantas.
“Memang ramai peminat yang DM (mesej) di media sosial, malah di mana-mana hantaran yang kami bertiga muat naik, pasti akan ada peminat yang komen dan beritahu bahawa mereka kecewa kerana tak menang ‘battle’ katanya.
“Tapi, itulah penjualan tiket zaman sekarang semuanya melalui digital dan bukan kaunter fizikal.
“Tetapi, dengan pengumuman di sidang media yang akan berlangsung hari ini mengenai penambahan tarikh itu, Insya Allah kita akan cuba buat adaptasi untuk jualan secara fizikal.
“Itu bergantung kepada penganjur konsert. Kami dah mohon untuk bukan 100 peratus dijual secara fizikal sebab bukan semua selesa untuk membeli secara online,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Edry, keputusan untuk penambahan hari itu dibuat demi peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya mereka.
“Semasa kami tutup kaunter jualan hari kedua, masih ada 3,000 peminat menunggu. Kami percaya permintaan masih ada.
“Cabarannya adalah lokasi sebab perlu tempah awal dan sebagainya. Bila ada keputusan di saat akhir, banyak perubahan perlu dibuat membabitkan banyak pihak.
“Hari tambahan ini pun bukan untuk diri kami, tetapi kerana peminat. Mereka dah berkemampuan untuk pergi sendiri. Jadi satu tanggungjawab untuk penuhi kehendak mereka.
“Kami pun bukan makin muda. Jadi, mungkin ini kali terakhir kami dapat buat persembahan besar-besaran dengan tarian, audio dan visual. Kami akan gunakan peluang dan rezeki ini sebaik mungkin,” katanya.
KRU dan penganjur, Icon Entertainment dijangka memberikan maklumat terperinci di Majlis Apresiasi Media dan Pengumuman Istimewa GenKRU petang nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




