Penggali kubur 'wira' Kampung Jelutong Indah

Penggali kubur 'wira' Kampung Jelutong Indah

am@hmetro.com.my

Sepang: Sambutan tahun baharu biasanya diraikan di kota-kota besar dengan persembahan nyanyian, perarakan serta bunga api, namun bagi penduduk Kampung Jelutong Indah, Sungai Pelek dekat sini, mereka mengadakan kelainan dengan menganjurkan majlis kesyukuran serta meraikan penggali kubur sebagai tetamu jemputan.

Lebih 500 penduduk kampung hadir pada majlis sambutan tahun baharu 2025 bertemakan 60-an yang dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Penggali kubur, Ramli Akob, 62, berkata, ini julung kali ada pihak menghargai jasa penggali kubur sepertinya sejak puluhan tahun dia terbabit dalam kerja berkenaan.

Katanya, tidak ramai yang mahu bergelar penggali kubur kerana ia antaranya memerlukan komitmen, tenaga dan pelbagai lagi.

“Saya bersyukur, selepas sekian lama terbabit dalam kerja-kerja ini, ada pihak yang prihatin dan mengingati jasa kami,” katanya yang juga penggali kubur paling ‘senior’ di kampung berkenaan.

Seramai 15 penggali kubur berusia 20-an hingga 62 tahun diraikan pada majlis itu dengan dianugerahi sijil pengiktirafan atas jasa yang dicurahkan mereka.

Pengerusi JPKKP Abdul Karim Latif, 54, berkata, majlis itu diadakan bagi mewujudkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, mereka memilih penggali kubur untuk diraikan bagi menghargai jasa kerana golongan ini banyak berbakti secara sukarela kepada penduduk sejak berpuluh tahun lalu.

“Penggali kubur ini layak digelar wira kampung atas jasa dicurah selama ini.

“Program ini akan diteruskan dan ia akan diperluaskan kepada golongan lain yang turut banyak berjasa kepada pembangunan kampung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top