Tabung khas bina pengecas EV

Tabung khas bina pengecas EV

KUALA LUMPUR: Satu tabung khas perlu diwujudkan untuk membiayai pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengenakan caj terhadap setiap kenderaan elektrik (EV) yang dijual untuk tujuan itu.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia berhadapan kekangan kewangan untuk membangunkan kemudahan pengecas awam secara besar-besaran seperti di China.

“Mungkin setiap kereta EV yang dijual di sini kita kenakan caj untuk dimasukkan dalam satu tabung bagi membina pengecas awam tanpa mengharapkan penjual kereta ini melakukannya kerana ia tidak berlaku,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Leong Ngah Ngah mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi peningkatan penggunaan EV.

Johari berkata, sebelum ini kerajaan memperkenalkan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV import sepenuhnya (CBU) selama empat tahun sebagai usaha merangsang pertumbuhan pasaran dan menarik pelaburan ke negara ini.

Namun, katanya, langkah itu menyebabkan negara kehilangan hasil cukai berjumlah RM3.3 bilion sedangkan pelaburan dalam pembangunan rangkaian pengecas awam masih tidak mencapai sasaran.

“Selepas empat tahun, kita hendak mencari pengecas awam, tiada pelaburan yang dibuat oleh pemain (EV) ini,” katanya.

Katanya, oleh itu, insentif berkenaan tidak diteruskan dan kerajaan hanya mengekalkan pengecualian cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027 bagi menyokong perkembangan industri tempatan.

Johari berkata, kerajaan akan memberikan insentif kepada syarikat yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara.

Katanya, syarikat yang memohon insentif perlu melibatkan rantaian bekalan tempatan, selain membantu pembangunan vendor dan industri komponen dalam negara.

“Kalau mereka datang hanya membawa semua komponen dari luar negara, memasang dan menjual kenderaan di sini tetapi mengharapkan insentif, kita tidak boleh buat begitu kerana akan menjejaskan ekosistem automotif yang telah kita bina selama 30 hingga 40 tahun,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top