harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Kanak-kanak lelaki sembilan tahun berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Jalan Kajang Perdana 8, Taman Kajang Perdana, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pasukan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikerah ke lokasi sejurus terima panggilan pada 6.32 petang.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba mengambil bola di longkang berkenaan sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.
“Kanak-kanak itu ditemui di dalam longkang bawah tanah sedalam 7.62 meter.
“Kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan penyelamat berjaya membawa naik mangsa jam 7.29 petang.
Katanya, mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dalam keadaan lemah dibawa oleh pasukan perubatan untuk menerima rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



