Jadi 'burung hantu' demi rezeki

Jadi 'burung hantu' demi rezeki

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: Ketika kebanyakan insan lain sudah diulit mimpi, Muhammad Amir Firdaus Zulalim, antara seorang daripada penunggang p-hailing yang sanggup keluar pada tengah malam mahupun awal pagi untuk mencari rezeki.

Kisah pemuda berusia 21 tahun itu mendapat perhatian selepas berkongsi video menceritakan pengalamannya sebagai ‘pejuang ringgit’ yang berjaga malam untuk menambah pendapatam.

Menerusi video meraih lebih 1.8 juta tontonan itu, Muhammad Amir Firdaus memberitahu ada orang yang mengatakannya gila kerana keluar ketika orang lain sudah tidur, tetapi hakikatnya dia tetap menerima pesanan untuk dihantar kepada pelanggan pada 4 pagi dan waktu sebegitu.

Muhammad Amir Firdaus yang berasal dari Bukit Kapar berkata, waktu kerjanya agak fleksibel dan sering juga keluar bekerja pada 12 tengah malam dan pulang 7 pagi.

“Perkongsian itu sebenarnya untuk yang selalu bertanya (mengenai kerja) malah ada juga kata tak payah keluar (bekerja) kerana buat penat saja.

“Tapi bagi saya, itu semua bergantung dengan rezeki dan daripada duduk rumah tak tidur, lebih baik saya gunakan masa yang ada dengan keluar mencari duit.

“Emak dan abah pun tak halang, malah bagi sokongan, cuma mereka selalu pesan kepada saya supaya berhati-hati apabila di luar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia masih menyambung pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekatronik peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga dan bakal menamatkan kursus itu pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, Muhammad Amir Firdaus bekerja sebagai penunggang p-hailing kerana mahu berdikari dan mencari duit poket sendiri selain mengumpul pengalaman.

“Saya mula bekerja sambilan sebagai penunggang p-hailing sejak empat tahun lalu dengan niat cari duit sendiri supaya tak susahkan emak ayah kerana ada adik yang masih bersekolah.

“Banyak juga pengalaman sejak bekerja, antaranya dimarahi pelanggan yang mendakwa makanan tak sampai dan pernah juga kemalangan hingga terfikir untuk berhenti, mengenangkan risikonya.

“Tapi seronoknya kerana berasa (nikmat) pegang duit sendiri dan belanja adik-adik. Sebelum kerja, abang dan abang ipar ada cerita pengalaman mereka, memang ada risiko, tapi mahu atau tidak, kena bersedia sebab kerja itu yang saya pilih,”katanya.

Berkongsi perancangannya, Muhammad Amir Firdaus berkata, jika ada peluang, dia mahu menyambung pengajian di GiatMARA.

“Tapi kalau tak ada rezeki, saya akan terus jadi penunggang p-hailing buat sementara waktu sehingga dapat peluang belajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top