Los Angeles: Pelakon Zoe Saldana, 46, terharu dan tidak menduga menang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Golden Globes 2025 pagi ini, sekali gus mengatasi saingan calon pilihan kategori itu, Ariana Grande.
Zoe berjaya merangkul kemenangan penuh makna itu menerusi lakonan mantapnya dalam karya luar biasa dibintanginya iaitu Emilia Perez.
“Terima kasih kepada semua rakan yang tercalon dalam majlis anugerah ini. Kali pertama bagi saya dan ia sangat diberkati kerana dapat berkongsi detik ini dengan Selena, Carla, Jack dan semua rakan lain. Saya ada dalam anda semua.
“Kekuatan, kerumitan dan bakat anda semua yang tidak dapat dinafikan. Saya tahu ia adalah pertandingan, tetapi apa yang saya saksikan hanyalah kita muncul untuk satu sama lain serta meraikannya bersama dan ia sangat indah.
“Selena, Ariana, Margaret, Felicity, Isabella, saya pernah makan tengah hari satu kali di rumah anda dan saya fikir saya kini sudah berjaya. Anda semua memang ajaib,” katanya dalam ucapan kemenangan itu.
Menerusi filem Emilia Perez, Zoe melakonkan watak Rita Mora Castro iaitu seorang peguam yang turut mengangkat kisah empat wanita luar biasa lain dalam mengejar kebahagiaan masing-masing di Mexico.
Rita bagaimanapun adalah peguam yang dipandang sebelah mata oleh ketuanya, Emilia (lakonan Karla Sofia Gascon) yang meminta untuk membantu memalsukan kematiannya supaya boleh hidup tenang dan damai sebagai diri sebenar.
Acara tahunan berprestij Anugerah Golden Globes yang juga penganjuran kali ke-82 itu dihoskan oleh pelawak Emmy Nikki Glaser yang kini berlangsung di Hotel The Beverly Hilton, Amerika Syarikat (USA).
© New Straits Times Press (M) Bhd




