Kuala Lumpur: Susulan banjir besar yang melanda negeri Kedah pada hujung tahun lalu, Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) dengan kerjasama Persatuan Amal Kebajikan Sahabat Urwah (URWAH) menyalurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas melalui Program Bantuan Pascabanjir bagi meringankan beban mereka membina semula kehidupan.
Melalui program ini, EFTB telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM150,000 kepada lebih 500 keluarga di Kedah termasuk Kota Setar, Kubang Pasu, dan Pokok Sena.
Penerima manfaat program ini mendapat sumbangan tunai RM200 serta bantuan segera dalam bentuk pek makanan asas bernilai RM100 yang mengandungi barangan keperluan harian dan barangan kebersihan asas yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif EFTB, Zafri Ab Halim berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia, EFTB berbesar hati memainkan peranan dalam membantu masyarakat yang terjejas akibat banjir besar di Kedah.
“Program ini sejajar dengan visi korporat kami, Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik.
“Melalui kerjasama dengan URWAH, kami berharap sumbangan ini bukan saja dapat meringankan beban keluarga yang terkesan, tetapi juga memberikan sedikit ketenangan dalam menghadapi cabaran pasca bencana.
“Kami percaya semangat keprihatinan dan solidariti adalah kunci utama dalam usaha membangunkan semula komuniti yang terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd