UKM bina rumah khas kelawar pertama Asia, jaga ekosistem spesies Cecadu Pisang

UKM bina rumah khas kelawar pertama Asia, jaga ekosistem spesies Cecadu Pisang

amir_hamid@mediaprima.com.my

Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah sebagai institusi pertama di Asia membina rumah khas kelawar untuk tujuan mitigasi kelawar spesies Cecadu Pisang.

Rumah kelawar khas berkenaan terletak di perkarangan Istana Puteri Bongsu berhampiran dusun universiti itu.

Reka bentuk unik rumah kelawar itu dicetuskan pensyarah Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Dr Azreena Abu Bakar dengan kerjasama Prof Madya Dr Norzalina Harun dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta Dr Juliana Senawi dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Azreena berkata, rumah kelawar khas itu dimulakan rentetan daripada projek pemuliharaan Istana Puteri Bongsu yang berdepan masalah berikutan terdapat banyak populasi kelawar di dalam istana hingga menyukarkan kerja pembersihan.

“Rumah kelawar ini juga dibina sebagai satu langkah mitigasi konflik manusia dan kelawar sekali gus memelihara populasi kelawar dari terancam akibat konflik itu.

“Oleh kerana kelawar memainkan peranan penting dalam ekosistem seperti pendebungaan, penyebaran biji benih dan kawalan populasi serangga, kami mengambil pendekatan membina rumah khas untuk kelawar ini daripada bertindak menghapuskan spesies itu,” katanya pada sidang media mengumumkan kejayaan itu di UKM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof Emiritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak dan Dekan FKAP Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman.

Azreena berkata, rumah kelawar direka meniru reka bentuk bumbung istana asal seperti penggunaan atap singgora dan kayu cengal yang diperoleh khas dari Kelantan.

“Tambahan ruang seperti ‘bilik’ turut diwujudkan bagi memenuhi keperluan struktur sosial kelawar, di mana satu jantan biasanya tinggal bersama lima hingga enam betina.

“Pemindahan kelawar dilakukan melalui teknik tangkap pindah menggunakan jaring yang dipasang pada waktu senja. Kelawar yang ditangkap kemudian disapu madu khas (pollen) pada badan untuk menarik minat kelawar lain ke habitat baharu mereka.

“Langkah ini bertujuan memastikan kawanan kelawar itu tidak merasa asing apabila berpindah ke rumah baharu yang dibina dengan elemen hampir sama seperti tempat asal mereka di istana,” katanya.

Beliau berkata, projek rumah khas kelawar itu bermula pada Julai 2023 dan siap sepenuhnya pada Januari 2024 yang menelan kos lebih RM40,000.

“Lampu turut dipasang di istana untuk menghalang kelawar kembali ke lokasi asal itu, sekali gus memastikannya kekal di habitat baharu.

“Rumah khas kelawar ini adalah pertama di Asia yang dibangunkan secara saintifik. Kebanyakan negara lain memilih menghapuskan kelawar kerana bimbang risiko wabak seperti Nipah atau Ebola, tetapi kami memilih untuk menjaga ekosistem,” katanya.

Azreena berkata, mengikut rekod, lebih 300 ekor kelawar dikesan di Istana Puteri Bongsu berpindah ke rumah khas itu dan diharap ia menjadi contoh kepada negara lain dalam usaha pemuliharaan spesies kelawar.

Menurutnya, kelawar sering disalah faham sebagai ancaman, sedangkan mamalia itu membantu mengekalkan ekosistem seimbang, terutamanya di kawasan berhampiran pokok buah-buahan seperti langsat, durian dan rambutan.

“Inisiatif ini bukan hanya menyelamatkan spesies kelawar, malah mengelakkan konflik antara manusia dan haiwan ini. Dengan projek ini, kami berharap kesedaran mengenai kepentingan kelawar dalam alam sekitar dapat ditingkatkan,” katanya

Beliau berkata, UKM berhasrat menjadi perintis kepada usaha pembinaan rumah kelawar lain termasuk menjadi contoh di peringkat antarabangsa, sebagai alternatif kepada penghapusan spesies kelawar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top