puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Catriona Ross menyifatkan kehadiran anak istimewanya sebagai satu anugerah luar biasa yang banyak mengajar dirinya tentang erti kehidupan.
Menerusi satu hantaran di Threads semalam, Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 46, berkongsi cahaya matanya itu secara tidak sedar adalah guru terbaik dalam membentuk dirinya menjadi insan lebih matang setiap hari.
“Tuhan anugerahkan seorang anak yang luar biasa dan tanpa sedar, dia juga menjadi guru terbaik dalam hidup saya.
“Melaluinya, saya belajar tentang kesabaran, kebaikan, kekuatan dan kasih sayang yang tidak mempunyai sempadan,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu turut melahirkan rasa syukur atas amanah dan rezeki yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak autistik.
“Setiap hari ada pengajaran baharu dan setiap hari dia menjadikan saya seorang manusia yang lebih baik daripada semalam.
“Forever grateful to be your Mommy. Beautifully Autistic. (Selamanya bersyukur menjadi ibumu. Autistik yang indah),” tulisnya lagi.
Catriona mendirikan rumah tangga bersama Shaharuddin Mokhtaruddin pada 2009 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sephia Rania, Jammal Raess serta Edruce Riyadh.
Namun begitu, Jammal Raess yang kini berusia 14 tahun disahkan mengalami autisme nonverbal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




