mohamadridzuan@hmetro.com.my
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib tidak menafikan dakwaan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam berkenaan penyalahgunaan dana yang diperolehi oleh penerbit drama dan filem.
Menurutnya, Finas tidak menafikan perkara ini berlaku, namun ia membabitkan pelbagai faktor antaranya situasi semasa yang membuatkan perancangan menjadi sebaliknya.
“Tak dinafikan kadang-kadang kita faham semasa mereka mohon geran mungkinlah bajet RM500,000. Bagaimanapun apabila dah dapat pelabur, pelakon dan kru, ketika sedang shooting mungkin bajet berbeza.
“Kalau kosnya terlebih, penerbit terpaksa cari lagi. Kalau ada berjimat pula, terlampau berjimat sangat. Kami tak nak ia berlaku jika ia akan mengurangkan kualiti produk.
“Kami nak hasil sepertimana dia pitch filem, bukan telefilem seperti yang Datuk Yusof katakan. Itu dikira menipu Finas, pelakon dan kru kerana sepatutnya pembayaran untuk kerja filem berbeza dengan telefilem. Mereka perlu mengadu pada Finas,” katanya kepada Harian Metro.
Azmir berkata, bermula tahun lalu, Finas memperkenalkan beberapa perubahan dalam pengendalian dana Finas dan kementerian berkaitan.
“Kami mewujudkan Pengurus Projek terdiri daripada orang luar Finas dalam dana-dana besar seperti Dana First Time Amateur Filmmaker (Fame) yang menyediakan RM500,000.
“Pengurus projek mewakili Finas bukan produksi terbabit. Tugasnya ialah membantu Finas memantau projek-projek. Mereka akan pastikan yang projek diberikan siap.
“Dana FAME ada empat penerima dan seorang Pengurus Projek. Kami juga adakan taklimat perjanjian kontrak dengan semua penerbit. Setiap fasa akan tetapkan berapa perbelanjaan,” katanya.
Jika penerbit tidak mencapai jumlah perbelanjan yang ditetapkan, panel tidak akan meluluskan untuk ke fasa seterusnya.
“Syarat ketiga, sebelum projek bermula akan ada mesyuarat penerbitan membabitkan Finas, Pengurus Projek dan penerima geran.
“Keempat, dalam setiap fasa sebelum kita buat sesuatu kelulusan, mereka kena tunjukkan semua invoice dalam masa terbabit dan jika panel fasa puashati baru mereka luluskan.
“Kelima mana-mana projek bermasalah akan disenarai hitam oleh kami. Itu memang syarat yang ditetapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




