Dua anak Daim mohon ketepikan waran tangkap

Dua anak Daim mohon ketepikan waran tangkap

KUALA LUMPUR: Dua anak lelaki bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan perintah waran tangkap terhadap mereka.

Pada 8 April lalu, Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammed Amir Zainuddin, 31, dan Muhammed Amin Zainuddin, 28, selepas gagal hadir dan gagal dikesan bagi tujuan pertuduhan di mahkamah.

Bagaimanapun, pada hari sama, mahkamah membenarkan permohonan peguam dua beradik itu untuk menggantung pelaksanaan waran tangkap terbabit.

Turut dikenakan waran tangkap ialah seorang ahli perniagaan, Josephine Premla. Di­fahamkan, wanita itu merupakan rakan perniagaan (business associates) keluarga Daim.

Peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid ketika dihubungi media memberitahu, Mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk pengurusan kes rayuan bagi mengetepikan waran tangkap itu.

Selain itu, beliau turut memaklumkan mahkamah akan mendengar permohonan Muhammed Amir dan Muhammed Amin untuk menggantung pelaksanaan waran tangkap itu secara kekal.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Elyza Amira Habeeb Rahman memaklumkan, sebanyak 12 dokumen diserahkan kepada pembelaan berhubung kes pendakwaan terhadap anak sulung Daim, Asnida, 65.

Pada 8 April lalu, Asnida didakwa atas pertuduhan tidak mematuhi terma notis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 8 November 2023 apabila gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam syarikat Amiraz Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Transgrade Sdn. Bhd. dan Gajah 3 Foods Sdn. Bhd.

Kes Asnida ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Jun ini. – UTUSAN

Scroll to Top