Dari asnaf kepada tauke cetak

Dari asnaf kepada tauke cetak

lokman. khairi@hmetro.com. my

Seri Iskandar: Bermula dari rumah sebagai pekerjaan sampingan, lelaki yang pernah bergelar asnaf ini berjaya bangkit menjadi usahawan percetakan dan miliki premis perniagaan di Bandar Universiti di sini.

Azinuddin Ramly, 36 dari Kampung Tua, Parit, dahulu bekerja sebagai pembantu teknologi maklumat (IT) di Pusat Internet 1 Malaysia (kini dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau NADI) selepas tamat pengajian diploma.

Menurutnya, pada 2016, beliau mula mengambil tempahan cetakan baju setiap malam sebagai pekerjaan sampingan bagi menampung kehidupan isteri dan seorang anak ketika itu.

“Saya bermula kecil-kecilan di rumah keluarga dengan peralatan asas seperti komputer dan mesin cetakan baju manual.

“Masa itu sekadar cuba-cuba sebab minat, selain lihat permintaan terhadap

cetakan baju semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, idea menceburi bidang percetakan bermula ketika mengikuti kursus pendek anjuran MARA sewaktu masih belajar diploma dalam bidang

Pengajian Islam dan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Katanya, pengalaman itu menjadi dorongan mengaplikasikan kemahiran dipelajari walaupun hanya dilakukan secara sambilan selepas waktu kerja.

“Siang saya kerja sebagai pembantu IT, malam saya siapkan tempahan pelanggan.

Kebanyakan pelanggan datang daripada komuniti pusat internet tempat saya bekerja,” katanya.

Azinuddin berkata, selepas hampir tiga tahun menjalankan perniagaan secara sambilan, beliau berhenti kerja bagi memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan pada 2019. Menurutnya, keputusan itu bukan mudah kerana ketika itu beliau sudah berkeluarga dan komitmen semakin meningkat.

“Saya bertuah berpeluang menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2019.

“Program itu beri pendedahan menyeluruh termasuk latihan keusahawanan, lawatan industri serta bimbingan mentor yang berpengalaman.

“Semasa kursus, saya dapat lihat sendiri bagaimana usahawan percetakan di Shah Alam mengembangkan perniagaan daripada kecil hingga memiliki beberapa premis. Dari situ saya mula yakin kembangkan perniagaan,” katanya.

Azinuddin berkata, melalui bantuan modal RM5,000 daripada MAIPk, beliau membuka premis percetakan, Alamien Studio di Bandar Universiti, di sini pada tahun sama dengan peralatan asas.

Beliau berkata, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk kekangan tenaga kerja dan persaingan dalam industri percetakan yang semakin sengit.

Katanya, perubahan landskap perniagaan ke arah digital menuntut beliau menyesuaikan diri daripada kaedah tradisional kepada platform dalam talian.

Menurutnya, selain bantuan awal, MAIPk memberi peluang menyertai program lanjutan seperti Program Keusahawanan Asnaf (ISHRAF) dengan kerjasama SME Bank dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang menyediakan geran tambahan RM10,000.

Katanya, bantuan digunakan untuk menambah mesin, memperluas jenis produk dan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Daripada hanya cetak baju, sekarang saya ada lebih 50 produk termasuk pelekat, tag dan pelbagai bahan promosi,” katanya.

Katanya, inisiatif itu membuktikan komitmen MAIPk sebagai agensi peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti digariskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Azinuddin berkata, perniagaannya semakin stabil dengan bantuan pekerja serta sokongan pelanggan tetap yang diperoleh melalui promosi berterusan.

Beliau yang kini mempunyai tiga anak bersyukur mampu memiliki rumah sendiri hasil usaha perniagaan yang dibangunkan.

“Alhamdulillah, daripada kosong dulu, sekarang saya sudah ada premis sendiri dan pendapatan stabil.

“Saya mahu jadikan Alamien Studio pusat percetakan lengkap di Seri Iskandar dan pada masa sama bantu lebih ramai usahawan kecil bina jenama mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top