am@hmetro.com.my
Tamparuli: Kehadiran kumpulan anjing liar yang merayau di sekitar pekan ini hampir setiap hari, menjadi ancaman keselamatan kepada orang ramai jika tidak ditangani pihak berkuasa.
Tinjauan mendapati haiwan yang bergerak secara berkumpulan itu, ada waktunya bertindak ganas terhadap orang ramai jika merasakan terganggu atau terancam.
Lokasi tumpuan haiwan dipercayai tidak bertuan itu kaki lima kedai, persekitaran restoran, pasar malam dan bawah kenderaan yang di parkir pemiliknya di sekitar pekan, untuk mencari makanan dan rehat.
Tinjauan juga mendapati haiwan itu menyelongkar tempat pembuangan sampah untuk mencari sisa makanan menyebabkan kawasan sekitar kotor.
Difahamkan, selain kawasan pekan Tamparuli, beberapa taman perumahan di daerah ini turut menerima gangguan anjing liar yang mengancam keselamatan penghuni.
Penduduk, Liza Daiman, 32, berkata masalah anjing liar itu bukan perkara baharu di pekan Tamparuli, sebaliknya sudah lama berlaku dan berlarutan sehingga kini apabila tiada tindakan diambil pihak berkuasa menanganinya.
“Kita sering mendengar individu dewasa, warga emas dan kanak-kanak cedera diserang anjing liar di tempat lain yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan perkara sama boleh berlaku di Tamparuli.
“Ini melihat kepada kewujudan banyak anjing liar merayau di pekan Tamparuli sejak sekian lama.
“Sebelum serangan anjing liar ke atas orang ramai berlaku di daerah ini, langkah menangani kehadiran haiwan yang banyak dan berbahaya itu perlu tindakan segera pihak berkuasa,” katanya.
Jessica Amy James, 37, pula mendakwa pernah melihat seorang ibu yang mengambil anak dari sebuah tadika berhampiran pekan, dikejar anjing liar bersama-sama anaknya, baru-baru ini.
“Ibu terbabit terpaksa menjerit untuk menghalau anjing liar itu untuk mengelak diserang dan digigit haiwan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, anjing liar juga kerap mengganggu pelanggan restoran sedang makan dengan baring pada bawah meja menunggu diberikan sisa makanan.
“Ia membahayakan keselamatan orang ramai, apabila haiwan bergaduh sesama sendiri kerana berebut makanan,” katanya.
Beliau berharap masalah anjing liar yang berlaku di Tamparuli menemui jalan penyelesaian, demi kebaikan semua pihak terutama orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




